Home Nasional Polis tumpas sindiket edar dadah lebih setengah juta

Polis tumpas sindiket edar dadah lebih setengah juta

Rampasan Dadah Selangor
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Ahmad Jefferi Abdullah menunjukkan dadah dan makmal dadah yang dirampas oleh polis selepas kejayaan polis dalam menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto AMIRUL SHAUFIQ 18 FEBRUARI 2022.

SHAH ALAM – Polis Selangor berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan merampas dadah bernilai RM521,263 membabitkan dua serbuan berasingan di Kuala Langat dan Klang, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan enam ahli sindiket pengedaran dadah termasuk seorang warga asing dan seorang wanita.

“Hasil serbuan pertama, polis berjaya membongkar sebuah kondominium di Bandar Saujana Utama, Jenjarom dijadikan tempat penyimpanan dadah serta merampas lapan peket berisi dadah heroin dan dua peket pil ekstasi dengan anggaran berat 8,616 gram bernilai RM298,454.40.

“Manakala serbuan kedua di kawasan Bukit Tinggi, Klang, polis menahan sepasang suami isteri dan merampas empat peket plastik berisi dadah syabu dan dua foil aluminium berisi 10 biji pil erimin 5 dengan anggaran berat 56.9 gram.

“Susulan tangkapan itu juga, polis merampas 12 peket plastik berisi heroin seberat 5,179.84 gram, satu plastik bertulis Qing Shan berisi syabu (1,080.41 gram) dan 250 foil aluminum berisi 7,500 pil erimin 5 seberat 2,090.68 gram,” katanya pada sidang media di IPK Selangor, di sini, hari ini.

rampasan dadah selangor
Antara dadah yang dirampas oleh pihak polis ketika sidang media berkenaan kejayaan polis dalam menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto AMIRUL SHAUFIQ 18 FEBRUARI 2022.

Menurutnya, bagi serbuan pertama kesemua suspek yang ditahan berumur antara 22 hingga 41 tahun dan merupakan penganggur.

“Manakala serbuan kedua pula, salah seorang suspek merupakan sub kontraktor kepada syarikat utiliti negara ,” katanya.

Ahmad Jefferi juga berkata, dalam serbuan itu, polis turut menyita bahan-bahan dan peralatan untuk memproses dadah, kenderaan serta barangan berharga.

“Dalam serbuan pertama, polis menyita sebuah kereta Honda City, sebentuk cincin emas, seutas gelang tangan dan seutas rantai leher silver dengan jumlah keseluruhan bernilai RM73,350.

“Manakala serbuan kedua pula, polis menyita sebuah kereta Proton Wira bernilai RM7,000,” katanya.

Katanya lagi, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 15 hingga 21 Februari 2022 di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali,” katanya lagi. – MalaysiaGazette