KUALA LUMPUR – Bazar Aidilfitri di Lorong Tunku Abdul Rahman (TAR), di sini akan beroperasi seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, bagaimanapun pihaknya akan melonggarkan sedikit kawalan SOP di tapak bazar berkenaan berbanding tahun lepas termasuk tidak lagi memasang pagar di sekeliling kawasan itu.
“Namun, pemakaian pelitup muka, mengimbas MySejahtera dan menetapkan penjarakan fizikal antara gerai penjaja tetap dilaksanakan,” katanya pada pemberita selepas melancarkan Karnival Ohh Kuala Lumpur 2022 di Panggung Anniversari, di sini hari ini.
Mahadi berkata walaupun terdapat kelonggaran SOP, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya berlaku ketidakpatuhan sehingga berlakunya penularan COVID-19 di kawasan tersebut.
“Kalau berlaku pada tahap perlu ditutup, maka kita terpaksa menutupnya. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama dalam mematuhi SOP dan tidak menjadi kepada penyebaran kluster baharu,” katanya.
Sementara itu, Mahadi berkata penganjuran Karnival Ohh Kuala Lumpur 2022 bertujuan menerapkan konsep perpaduan dan persefahaman antara warga kota yang berbilang kaum selain menyahut seruan kerajaan bagi menyediakan aktiviti dan program bersesuaian dengan norma baharu.
“Ia juga dapat mengaktifkan aktiviti pelancongan domestik sekali gus menarik minat penyertaan dalam kalangan warga ibu kota,” katanya.
Karnival Ohh Kuala Lumpur 2022 berlangsung dua hari bermula hari ini sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan sambutan Jubli Emas Bandaraya Kuala Lumpur 2022 dengan pelbagai program dianjurkan antaranya pertandingan KUL Sign Grafiti, Mr Fit Kuala Lumpur, Mini Konsert HWP 2022, e-sukan, kolaj pakaian dan aktiviti keceriaan kanak-kanak. – MalaysiaGazette