MELAKA – Hanya kerana perselisihan faham, seorang lelaki dipercayai tergamak menikam teman wanitanya sebelum menikam dirinya sendiri di sebuah rumah di Taman Merdeka, Batu Berendam di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mayat gadis berusia 22 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tusukan pisau di badan.
Turut ditemui berlumuran darah dengan kesan tikaman pisau pemotong sayur adalah mayat teman lelaki gadis terbabit berusia lewat 20-an.
“Kita menerima maklumat kejadian daripada rakan gadis berkenaan yang sempat menghubunginya meminta tolong selepas berlaku pertengkaran antara pasangan berkenaan.
“Sebaik tiba, pintu rumah dalam keadaan berkunci menyebabkan kita terpaksa meminta bantuan bomba untuk memecah masuk rumah terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Christopher, siasatan awal mendapati pemuda terbabit dipercayai telebih dahulu menikam teman wanitanya selepas berlaku perselisihan faham sebelum menikam dirinya sendiri berdasarkan penemuan sebilah pisau pemotong sayur di perut pemuda berkenaan.
“Pemeriksaan turut menemukan minyak tanah berhampiran pemuda terbabit dengan kesan mulut yang berbuih yang mana ada kemungkinan dia cuba bunuh diri dengan meminum minyak tanah sebelum menikam dirinya sendiri.
“Sebelum kejadian, gadis terbabit yang dikesan positif Covid-19 berdasarkan semakan di aplikasi MySejahtera sempat menghubungi rakannya bagi meminta bantuan,” tambahnya.
Christopher bagaimanapun berkata, polis masih menyiasat motif sebenar kejadian dan punca kematian pasangan muda berkenaan.- MalaysiaGazette