Home Nasional Garis panduan buka sempadan dijangka siap dalam 2 minggu lagi

Garis panduan buka sempadan dijangka siap dalam 2 minggu lagi

Khairy Jamaluddin mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Batu Pahat Mall bagi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak, PICKids Klinik Kurnia PEKA B40 di Batu Pahat, Johor petang tadi.

BATU PAHAT – Garis panduan pembukaan semula sempadan negara yang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia dilakukan sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Covid-19.

Garis panduan yang telah siap itu nanti akan dibentangkan di peringkat Jawatankuasa Kuartet Menteri Covid-19 sebelum dibawa ke peringkat jemaah menteri.

Beliau berkata, keputusan pembukaan semula sempadan negara bagaimanapun akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Perdana Menteri telah berjumpa saya untuk menyediakan garis panduan dan beliau telah memberi masa dua minggu pada saya dan KKM untuk menyediakan perkara berkaitan.

“Bagaimanapun ini tidak bermakna sempadan akan buka lagi dua minggu ini, kita nak perkara itu jelas. Dua minggu untuk kita siapkan.

“Saya menjangkakan dua minggu kita siap, mungkin suku tahun kedua, satu timeline realistic awal suku tahun. Tapi tarikhnya biarlah Perdana Menteri yang akan umumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Batu Pahat Mall bagi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak, PICKids Klinik Kurnia PEKA B40 di Batu Pahat petang tadi.

Semalam, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan telah mengarahkan KKM untuk menyiapkan garis panduan sebelum pembukaan semula sempadan negara.

Garis panduan tersebut mengambil kira aspek kesihatan rakyat dan pemulihan ekonomi. -MalaysiaGazette