Home Akhbar Cina Jalan 90 minit cari Internet untuk hadir temuduga universiti

Jalan 90 minit cari Internet untuk hadir temuduga universiti

Temuduga UPSI
Frank menghadiri temuduga universiti di sebuah pondok usang di atas bukit.

SIBU – Demi menghadiri temuduga pengambilan universiti, seorang pemuda dari rumah panjang di Hulu Entabai di kawasan pedalaman Sarawak termasuk berjalan satu jam 30 minit untuk mendapatkan sambungan Internet di atas bukit.

Frank yang berumur 21 tahun itu berkata, rumah panjang yang didudukinya adalah 80 kilometer dari Sarikei dan sebanyak empat jam diperlukan untuk sampai ke Julau kerana perlu melalui jalan lumpur dan jalan bukit.

Demi menghadiri temuduga Universiti Pendidikan Sultan Idris, Francis berjalan 90 minit untuk sampai ke sebuah bukit tinggi yang mempunyai akses Internet kerana kos perjalanan ke pekan di Julau dan Sarikei adalah tinggi.

Untuk membolehkan temuduga dijalankan dengan baik, ahli keluarganya telah membina sebuah pondok mudah daripada dahan pokok dan bumbung besi, manakala sehelai kain bercorak pua kumbu digantung sebagai ‘skrin’.

Frank memberitahu Sinchew Daily, dia bersyukur kerana Internet berada dalam keadaan agak lancar pada hari temuduga walaupun masih ada bahagian yang “tersekat-sekat”

Menurutnya, pelajar di kawasannya tidak boleh menghadiri kelas online apabila masuk senja dan orang kampung yang perlu berkomunikasi selalunya akan naik ke bukit antara pukul 7 pagi hingga 5 petang sebelum Internet terputus apabila masuk malam.

“Kalau hujan beberapa hari dan tiada matahari, maka kami tidak boleh guna Internet atau membuat panggilan,” katanya.

Menurutnya, murid-murid biasanya akan naik bukit beramai-ramai untuk menghadiri kelas online, walaupun semasa hujan renyai-renyai.

“Kalau hujan lebat, maka kami memang tidak boleh menghadiri kelas dan cikgu pun faham juga,” katanya.

Tambahnya, kawasan rumahnya mempunyai bekalan elektrik 24 jam tetapi tiada air paip dan penduduk menggunakan air bukit. – MalaysiaGazette