KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil 4.18 hingga 4.19 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, risiko geopolitik dan kebimbangan terhadap peningkatan ketara Kadar Dana Rizab Persekutuan AS, akan menentukan sentimen pasaran mata wang pada minggu depan.
“Ketidaktentuan membabitkan konflik di Ukraine terus menjadi tumpuan ketika penggiat pasaran memantau perkembangan terkini selain terdapat sentimen bercampur-campur daripada pihak Presiden Joe Biden dan Rusia.
“Dalam pada itu, di peringkat domestik, eksport Malaysia pada Januari terus mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 23.5 peratus dan import juga berkembang sebanyak 26.4 peratus,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata, peningkatan eksport itu menunjukkan bahawa Malaysia mendapat manfaat daripada pemulihan ekonomi global manakala pengembangan dua digit import menunjukkan bahawa aktiviti domestik semakin rancak dengan import barangan modal dan penggunaan masing-masing meningkat 37.7 peratus dan 32.0 peratus pada Januari.
Beliau berkata, Malaysia juga perlu berada di landasan betul untuk meraih pertumbuhan mantap pada tahun ini berikutan kedua-dua pemacu — permintaan luaran dan domestik, akan merangsang pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) secara menyeluruh.
Menurutnya, ringgit juga seharusnya dilihat secara positif biarpun itu tidak berlaku pada masa ini.
Sementara itu, RHB Research dalam nota penyelidikannya berkata biarpun sukar untuk menjangkakan perkembangan ketegangan Ukraine-Rusia dan pengakhirannya, impak risiko geopolitik berkenaan diunjur kekal bagi sebahagian besar separuh pertama 2022.
“Dolar AS berbanding mata wang Asia berkemungkinan menyaksikan satu lagi pusingan dalam suku pertama sebelum menyusut sehingga akhir 2022,” katanya.
Bagi asas mingguan, ringgit mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.1845/1870 daripada 4.1885/1910 pada minggu sebelumnya.
Ringgit bagaimanapun diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain bagi asas Jumaat hingga Jumaat.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1149/1170 daripada 3.1148/1169 pada minggu sebelumnya, rendah berbanding pound Britain kepada 5.7001/7035 daripada 5.6783/6817 dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.6340/6361 daripada 3.6089/6111.
Namun, berbanding euro, ringgit mengukuh kepada 4.7578/7606 daripada 4.7686/7715. – MalaysiaGazette