Home Nasional Cetus pencemaran pemaju perumahan akan diheret ke mahkamah

Cetus pencemaran pemaju perumahan akan diheret ke mahkamah

Pemaju perumahan dan operator kuari di Persiaran Kelicap, Pulau Pinang diarahkan henti kerja serta merta selepas didapati melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

BAYAN LEPAS – Pemaju perumahan serta operator kuari di Persiaran Kelicap, di sini, diarahkan henti operasi serta-merta selepas didapati gagal melanggar beberapa peraturan dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan tersebut diambil selepas pihaknya mendapati pihak pemaju serta operator kuari masih menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan pengkuarian walaupun tempoh sah kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) untuk aktiviti tersebut sudah tamat 7 Disember 2021.

Jelas beliau, kelulusan baharu tidak diperbaharui pihaknya susulan zon penampan terkini yang tidak mencukupi sehingga mencetuskan puluhan aduan berterusan daripada penduduk setempat berkaitan isu gegaran, bunyi bising, habuk, runtuhan serta insiden batu melantun.

Sharifah Zakiah.

Sharifah Zakiah berkata, tidak cukup itu, jarak terkini kuari dengan kawasan perumahan terdekat sekitar 70 meter turut menjadi sebab kelulusan tidak dilanjutkan selain pemaju telah diberi peluang yang mencukupi untuk merancang dan melaksanakan projek yang dirancang.

“Bagaimanapun, selepas tempoh operasi kuari tidak dilanjutkan,  pihaknya masih menerima aduan daripada penduduk yang mengatakan kuari tersebut masih beroperasi sehingga menimbulkan kacau ganggu.

“Susulan aduan itu, pihak JAS melakukan siasatan menggunakan dron pada 14 Februari lalu sebelum mendapati operator terbabit masih menjalankan aktiviti pemecahan batu menggunakan water cannon sekali gus menghasilkan bunyi bising tahap tinggi serta menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk berdekatan.

“Bertindak atas hasil siasatan pihak kami mengadakan pertemuan dengan pemaju pada 14 Februari lalu sebelum memutuskan mereka boleh meneruskan aktiviti perumahan yang telah mendapat Kelulusan EIA pada 18 Ogos 1994 di tapak yang sama dengan syarat pemaju perlu memgemukakan laporan EMP yang mengkaji semula kaedah-kaedah kerja tanah dan pembangunan di kawasan tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pihak pemaju dikatakan degil meneruskan operasi walaupun tempoh kelulusan sudah tamat tempoh.

Tambah Sharifah Zakiah, pemaju membuat perakuan untuk mengambil langkah mematuhi arahan tersebut namun semalam pihaknya masih menerima aduan bahawa mereka meneruskan aktiviti di tapak sehingga menimbulkan kacau ganggu, bunyi bising kepada penduduk perumahan berdekatan.

“Sehubungan itu, satu notis arahan diberikan secara serahan tangan kepada pihak pemaju hari ini yang mengarahkan mereka menghentikan semua aktiviti dan subaktiviti pengkuarian serta merta.

“Menerusi notis itu, pemaju juga diarahkan mengemukakan laporan EMP bagi aktiviti perumahan mengikut kontur dalam tempoh enam bulan dari tarikh notis jika masih berminat untuk menjalankan aktiviti perumahan.

“Sekiranya tiada laporan EMP dikemukakan dalam tempoh yang ditetapkan, pemaju dianggap tidak berminat meneruskan aktiviti perumahan malah, sebarang permohonan pada masa akan datang akan tertakluk kepada keperluan menjalankan kajian EIA yang baru.

“Tiada sebarang kerja dibenarkan dijalankan di tapak sehingga EMP dikemukakan dan disahkan oleh JAS Pulau Pinang walaupun tapak masih ada permit dan kelulusan kerja tanah yang dikeluarkan agensi lain,” tegas beliau.

JAS Pulau Pinang kini dalam proses menyiapkan kertas siasatan terhadap pemaju perumahan terbabit.

Dalam perkembangan sama, Sharifah Zakiah memaklumkan pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan bagi membawa pemaju serta kontraktor ke mahkamah.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 34 A, Seksyen 31 dan 38, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” kata beliau. – MalaysiaGazette