KUALA LUMPUR – Polis telah memulakan siasatan terhada seorang lelaki yang mati ketika berada dalam tahanan di Balai Polis Seri Alam, Johor baru-baru ini.
Lelaki berusia 49 tahun itu ditangkap dalam Op Pemutihan / Tapis oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, Johor Bharu, Johor.
Mengikut fakta tangkapan Orang Kena Tuduh (OKT) itu, telah disiasat di bawah Seksyen 39(a)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta yang sama sejurus dibawa ke IPD tersebut.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, suspek kemudian dibenarkan ditahan reman selama empat hari dan OKT kemudian telah dituduh di mahkamah di daerah tersebut pada 7 Februari lalu di bawah Seksyen 39(a)(1) ADB 1952.
“Bagaimanapun, jaminan mahkamah tidak ditawarkan dan mahkamah mengarahkan OKT tersebut menjalani tahanan reman penjara di lokap Balai Polis Seri Alam sementara menunggu sebutan semula serahan dokumen kes itu pada 10 April 2022.
“Namun, pada 16 Februari lalu jam 12.45 tengah hari, OKT tiba-tiba mengadu sesak nafas dan terus dihantar ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk rawatan lanjut segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pada 19 Februari 2022 jam 7.00 pagi, OKT berkenaan didapati tidak sedarkan diri di dalam lokap di balai polis tersebut.
Menurutnya, koroner yang hadir ke tempat kejadian (lokap) dan mengesahkan OKT tersebut telah meninggal dunia.
“Mayat OKT tersebut kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk proses bedah siasat sebelum pada Ahad, OKT disahkan positif Covid-19.
“Proses bedah siasat telah dijalankan oleh Ketua Pakar Forensik di hospital tersebut namun punca kematian OKT itu masih belum diketahui lagi dan bergantung pada laporan analisa serta ujian makmal oleh pihak patalogi.
“Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan mendalam berkaitan kes tersebut,” tegasnya. – MalaysiaGazette