Home Seni Hidup Presidential Library mercu pembangunan ilmu Turki

Presidential Library mercu pembangunan ilmu Turki

Reka bentuk indah di dalam Dewan Cihannuma (Atlas Dunia) Presidency Library Turkiye yang menempatkan lebih 120 koleksi artikel , buku dan ilmiah termasuk koleksi kesusasteraan dan kesenian Turkiye menjadi kemegahan rakyat republik itu untuk pembangunan pendidikan negara.Gambar MalaysiaGazette

ANKARA, Turki – Perpustakaan Kebangsaan Turki atau Presidential Library merupakan mercu tanda kemajuan pendidikan rakyat Turki.

Berdiri megah di atas tanah berkeluasan 125,000 meter persegi, perpustakaan itu merupakan struktur terakhir sebagai pelengkap Kompleks Presiden Turki yang terletak di Ankara.

Perpustakaan yang dirasmikan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada 20 Februari 2020 itu merupakan pusat rujukan koleksi buku terbesar di negara itu yang menjadi tumpuan harian rakyatnya.

Ia memiliki koleksi buku sebanyak lima juta naskah dalam 134 bahasa dan menempatkan 120 juta artikel dan laporan.

Erdogan merancang menjadikan perpustakaan itu antara terbaik di dunia dengan pelbagai koleksi termasuk kesusasteraan serta kesenian selain menjadi mercu pembangunan ilmu Turki pada masa akan datang.

Ruang masuk hadapan Perpustakaan Presidency di Ankara Turki.Gambar MalaysiaGazette

Perpustakaan Presidential juga menerima koleksi buku dari negara yang menjalin hubungan diplomatik dengan Turki menerusi kerjasama Kementerian Luar.

Perpustakaan yang dihiasi dengan batu marmar berwarna merah jambu dilengkapi reka bentuk Seljuk, Ottoman dan kontemporari itu boleh memuatkan 5,500 orang pembaca dalam satu masa.

Reka bentuk ruang di dalam Perpustakaan presidency Turkiye yang mempunyai lebih 23 elevator untuk kegunaan pengunjung setiap hari.Gambar MalaysiaGazette

Apa yang mengagumkan, Dewan Cihannuma (atlas dunia) atau setinggi enam tingkat dibangunkan dengan disokong 16 tiang yang menjadi simbol 16 empayar Turki.

Dewan Cihannuma yang berkeluasan 3,500 meter persegi menyimpan 200,000 buku dilengkapi 224 tempat duduk.

Keindahan dalamannya terserlah dengan diameter kubah sepanjang 27 meter yang kelihatan seolah-olah dewan opera.

Presidential Library dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu  koleksi buku jarang ditemui (50,000 buku koleksi manuskrip Abdülbaki Golpınarl dan Mehmet Şevket Eygi) dan koleksi penyelidikan (20 bilik belajar secara berkumpulan dengan 20,000 koleksi buku).

Selain itu, bahagian kanak-kanak dikenali Nasreddin Hodja merangkumi lebih 20,000 koleksi buku bagi mereka yang berumur 5 hingga 10 tahun.

Ia meliputi karya baharu kanak-kanak yang dimasukkan dalam pangkalan data perpustakaan sebagai rujukan dan bilik multimedia dengan skrin sentuhan dan audio visual.

Bahagian koleksi belia pula dikhususkan untuk individu berusia antara 10 hingga 15 tahun dengan koleksi 300,000 buah buku.

Reka bentuk dalaman Presidential Library di Ankara Turkiye yang dibuka untuk rakyat republik itu dengan lebih 120 juta artikel dan koleksi buku beserta ilmiah. Gambar MalaysiaGazette

Sebanyak 550,000 e-buku, 6.5 juta e-desertasi serta 60,000 e-majalah daripada 46 pengkalan data termasuk 650,000 bahan  ilmiah elektronik.

Perpustakaan berkenaan dibuka 365 hari setahun dan kemasukannya adalah percuma. – MalaysiaGazette