GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan diharapkan mengambil kira kepentingan masyarakat umum serta tidak terburu-buru membuat keputusan membabitkan pembukaan semula sempadan.
Jurucakap Parti Gerakan Kawasan Sungai Pinang, Mok Kok On berkata, walaupun pembukaan semula sempadan dapat membantu merangsang dan memacu pembangunan ekonomi negara namun kerajaan harus berhati-hati dalam memutuskan keputusan tersebut.
“Ini kerana melihat kepada perkembangan mutakhir kini yang mana jumlah kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat sekali gus memerlukan kerajaan mengambil kira kepentingan masyarakat umum,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi masa dua minggu kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk menyediakan garis panduan bagi pembukaan semula sempadan.
Mengulas mengenai penyediaan garis panduan pembukaan sempadan, Kok On berkata, Kementerian Kesihatan disarankan mendapatkan pandangan pakar dalam pelbagai bidang untuk membincangkan langkah-langkah pencegahan dengan lebih mendalam sebelum menyediakan garis panduan tersebut.
“Garis panduan yang bakal dikeluarkan sangat penting bukan saja dalam usaha mengekang penularan Covid-19 namun ia harus membabitkan pelan pemulihan ekonomi negara.
“Mereka yang terlibat dalam perniagaan, sudah tentu berharap kerajaan membuka semula sempadan secepat mungkin namun perlu diingatkan ia mendatangkan kebimbangan kepada rakyat biasa berhubung peningkatkan kes sekiranya sempadan dibuka.
“Oleh itu, kerajaan perlu membuat keputusan yang bijak bagi manfaat semua pihak sekali gus memastikan negara tidak berdepan situasi lonjakan kes,” ujar Kok On. – MalaysiaGazette