KUANTAN – Seorang mekanik maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas jatuh dalam parit di Tanah Putih, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian jam 11.20 malam itu, Mohd Khairol Aman Mohd Nisam, 32, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
“Kemalangan dipercayai terbabas membabitkan kenderaan jenis BMW berlaku di Jalan Kuantan-Maran berhampiran pusingan U Batu 3 Tanah Putih, Kuantan.
“Hasil siasatan awal, mendapati kemalangan berlaku di atas kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan dan menyebabkan kemalangan berlaku.
“Setibanya di lokasi kejadian ketika pemandu bergerak lurus, tiba-tiba dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan masuk ke dalam parit,” katanya sambil menambah mangsa menuju bandar Kuantan dari Gambang.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan proses bedah siasat dijalankan selepas ujian calitan Covid-19 diperolehi.
Wan Mohd Zahari berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette