KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan cuba terjun dari tingkat lapan sebuah kondominium gara-gara cintanya terhalang.
Bagaimanapun, gadis yang berusia 18 tahun itu diselamatkan anggota bomba Selayang yang dikerahkan ke Amara Kondominium, Kampung Kenneison Selayang, di sini, sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada jam 2.16 petang.
Ketua Jabatan Bomba Selangor, Noor Azam Khamis berkata, setibanya di lokasi pada jamĀ 2.25 petang, pihaknya mendapati seorang perempuan berusia 18 tahun berdiri di balkoni.
“Siasatan mendapati mangsa mengambil tindakan mahu membunuh diri disebabkan oleh cintanya terhalang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, semasa kejadian mangsa tinggal bersendirian dan ibu bapanya telah keluar bekerja dan mereka bergegas pulang apabila mengetahui kejadian tersebut.
“Selepas mendapati pintu rumahnya berkunci dari dalam, ibu mangsa yang pulang ke rumah membuka pintu sebelum bersama anggota bomba terlibat dalam usaha memujuk mangsa.
“Hasilnya mangsa berjaya dipujuk dan diturunkan dari balkoni jam 3.45 petang tadi,” ujarnya.-MalaysiaGazette