Home Nasional 57 laporan AEFI membabitkan PICKids, tiada kesan serius

57 laporan AEFI membabitkan PICKids, tiada kesan serius

Dr Noor Azmi memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada Nur Adib Darwisy, 11 tahun ketika mengadakan lawatan PPV Kids di SK Saujana Indah, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

NIBONG TEBAL – Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 57 laporan setakat ini membabitkan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) menerusi aplikasi MySejahtera sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) bermula pada 3 Februari lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kesemua laporan itu membabitkan mereka yang mempunyai kesan sampingan ringan termasuk demam, bengkak serta lenguh pada bahagian tangan selepas menerima vaksin.

Bagaimanapun, beliau menegaskan terdapat satu kes di Kedah ditakrifkan sebagai serius membabitkan seorang kanak-kanak yang diserang asma selepas pengambilan vaksin Covid-19.

“Kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu dilaporkan memang menghidap asma sebelum ini dan diberikan rawatan selama sembilan hari di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar sebelum dibenarkan pulang sebaik pulih.

“Selain daripada itu tiada kes serius lain yang dilaporkan sehingga kini manakala bagi kanak-kanak mempunyai kesan sampingan ringan itu mereka demam dan lenguh dalam tempoh sehari, dua sahaja.

“Malah, kita juga telah memaklumkan sebelum ini apa-apa kesan yang berkaitan vaksin Covid-19, penerima boleh buat laporan di aplikasi MySejahtera atau di klinik berhampiran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin PICKids di Sekolah Kebangsaan Saujana Indah di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Azmi berkata, seramai 564,220 atau 15.9 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui PICKids setakat semalam.

Jelas beliau, jumlah pemberian vaksin ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1.5 peratus setiap hari.

“Kita ada 4 juta kanak-kanak dan kami menyasarkan 70 hingga 80 peratus kanak-kanak menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam tempoh dua bulan pelaksanaan PICKids di seluruh negara.

“Kejayaan pelaksanaan pemberian vaksin ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri, KKM sendiri serta agensi lain ini kerana majoriti golongan dewasa di negara ini sudah mempunyai pelindungan dengan pengambilan vaksin dan kini kita perlu menjaga keselamatan nyawa kanak-kanak pula.

“Selain itu, saya juga ingin nasihatkan ibu bapa yang masih ragu dan mengambil sikat tunggu dan lihat untuk segera membuat keputusan yang baik kerana pemberian vaksin ini untuk menyelamatkan anak-anak daripada jangkitan teruk, masuk hospital serta kematian,” jelas beliau.

Tambah Dr Noor Azmi, dalam tempoh Julai hingga Disember tahun lepas seramai 278,000 kanak-kanak dan remaja di bawah 17 tahun telah dijangkiti Covid-19 dengan 63 daripada jumlah itu dilaporkan meninggal dunia. – MalaysiaGazette