Home Nasional 9 ‘scammer’ baru berjinak-jinak dicekup polis

9 ‘scammer’ baru berjinak-jinak dicekup polis

Foto; PDRM

KUALA LUMPUR – Polis menahan sembilan individu kerana disyaki akan menjalankan aktiviti penipuan berkaitan pelaburan atas talian dalam serbuan di sebuah kondominium mewah di Jalan U-thant, di sini, semalam

Mereka yang ditahan dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada jam 4.30 petang itu ialah dua lelaki warga tempatan, lima lelaki warga China dan dua perempuan warga China berusia dalam lingkungan 22 hingga 42 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata, serbuan tersebut membawa kepada rampasan satu set komputer, 15 telefon bimbit, satu router dan sebuah modem yang disyaki untuk penggunaan kegiatan penipuan pelaburan yang menyasarkan warga luar negara.

“Mereka belum beroperasi sepenuhnya lagi, sedang menguruskan teknikal, pekerja dan peralatan. Masih belum ada mangsa yang dilaporkan tetapi berdasarkan rampasan, pelaburan ini mensasarkan mangsa dari luar negara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Mahidisham, suspek yang ditangkap itu tidak mempunyai rekod jenayah namun semua warga asing itu didapti tidak mempunyai dokumen semasa serbuan dilakukan.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman sehingga 25 Februari ini untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette