BUTTERWORTH – Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini atas 80 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM21,750 sejak November 2017 hingga Mei 2019.
Tertuduh Azmawi Zakaria, 47, seorang Bintara Kanan Maritim di Zon Maritim Kuala Kedah, Kedah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut kertas pertuduhan, Azmawi didakwa menerima suapan berjumlah RM21,750 melalui akaun Maybank dengan tiada balasan daripada seorang lelaki yang mempunyai hubungan rasmi dengan jawatan tertuduh sebagai Bintara Kanan Maritim di Malayan Banking Berhad Cawangan Wisma Jelutong di sini antara 16 November 2017 hingga 30 Mei 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Fauzee Azizan dan dia menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 manakala tertuduh diwakili Yuvanes Marian.
Zulhazmi kemudiannya membenarkan Azmawi diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Selain itu, mahkamah tidak menetapkan tarikh sebutan semula kes susulan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Alor Setar, Kedah. – MalaysiaGazette