KUALA LUMPUR – Chef selebriti, Datuk Redzuwan Ismail atau Chef Wan saling berbalas kenyataan di media sosial dengan bekas menantunya, Shikin Maembong yang menuntut saman bernilai RM1 juta.
Shikin yang juga kakak kepada pelakon Emma Maembong menafikan dakwaan perkahwinannya dengan Nadzri atau Chef Riz menggunakan wang bekas bapa mentuanya seperti didakwa Chef Wan.
Dalam video dimuat naik di Instagram, Shikin berkata, dia perlu mendedahkan kebenaran selepas menerima kecaman hebat susulan kenyataan dikeluarkan Chef Wan yang disifatkan berbaur fitnah.
“Sebenarnya masa berkahwin dengan bekas suami duit perkahwinan adalah 100 peratus duit kami sendiri. Ketika itu, saya dan bekas suami membuat perniagaan Elken. Kami kumpul duit dan kahwin guna duit sendiri, tiada satu sen duit bekas bapa mentua.
“Apa yang dimuat naik adalah fitnah, jadi, semua perlu tahu hal sebenar,” katanya.
Sementara itu, Chef Wan yang memuat naik semula video penafian Shikin itu menyifatkan bekas menantunya penipu dan boleh membawa saksi yang menerima pembayaran untuk majlis perkahwinan itu.
Semalam, Chef Wan mendedahkan beliau disaman RM1 juta oleh Shikin kerana didakwa menegurnya berhubung hal membabitkan cucunya, Putri Arriana Natasya, 7, iaitu anak hasil perkahwinan Shikin dengan Nadzri.
Nadzri mendirikan rumah tangga dengan Shikin pada 5 Disember 2014 dan kemudiannya, bercerai dua tahun kemudian.
Nadzri yang baru sahaja berkahwin buat kali ketiga pada Januari lalu. Selain Shikin, Nadzri pernah berkahwin dengan pelakon, Ana Dahlia. Mereka bercerai selepas 11 bulan mendirikan rumah tangga. – MalaysiaGazette