Home Sukan Ferns dakwa Lee Tuck menipu untuk jadi pemain naturalisasi

Ferns dakwa Lee Tuck menipu untuk jadi pemain naturalisasi

Foto Instagram Curran Ferns.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain Felda United, Curran Ferns mendakwa pemain import Sri Pahang FC, Lee Tuck menipu rakyat Malaysia dalam usaha mendapatkan kerakyatan sekaligus menjadi pemain naturalisasi negara.

Menerusi hantaran di Instagram miliknya, Ferns yang pemain kacukan itu turut mendakwa pemain kelahiran England itu tidak memiliki pertalian darah dengan sesiapa pun di negara ini.

“Memakai lilitan ketua pasukan Sri Pahang namun menipu rakyat Malaysia dan rakan sepasukan sendiri di mana dia mendakwa mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.

“Jadilah lelaki sebenar dan mengaku anda telah menipu semua orang untuk mendapatkan pasport bagi meneruskan hidup. Jika anda benar-benar sayangkan Malaysia, berhenti bermain bola sepak dan bekerja di kedai mamak dan menghargai budaya di sana.

“Tunjukkan kepada semua orang bahawa anda mendapatkan pasport dengan niat yang betul dan bukalah kedai dengan nama “Lee Roti Bar” dan segera lupakan bola sepak,” tulisnya.

Sebelum ini, Ferns memerli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana memberikan kerakyatan kepada pemain yang didakwanya menipu mengenai status.

“Untuk mewakili Malaysia dan menjadi warganegara, ianya lebih dari sekadar bola sepak. Bagaimana kita boleh benarkan seseorang yang cuba untuk memanipulasi masyarakat dan menipu kepada semua orang hanya kerana namanya kedengaran seperti orang Asia, hanya untuk memenuhkan poket sendiri.

“Ini adalah penghinaan terbesar dan seperti mendapat tamparan keras di muka. Tunjukkan dokumen anda yang mengatakan anda mempunyai keturunan Malaysia kerana anda telah bercakap kepada media untuk satu masa yang lama.

“Sekarang anda perlu buktikan atau meminta maaf kepada rakyat kerana menipu dan biarkan rakyat untuk menilai sama ada anda layak untuk menjadi warganegara Malaysia atau sebaliknya.

Lee Tuck sudah beraksi di Liga Malaysia selama lima tahun dan dia dikhabarkan bakal menjadi pemain naturalisasi untuk Sri Pahang FC. – MalaysiaGazette