Home Nasional Mahkamah Tinggi batalkan pengharaman buku ‘Gay Is Okay!

Mahkamah Tinggi batalkan pengharaman buku ‘Gay Is Okay!

Buku Gay Is Okay!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari membenarkan permohonan penulis dan penerbit buku  Gay Is Okay! A Christian Perspective untuk membatalkan perintah pengharaman Kementerian Dalam Negeri (KDN).

KDN sebelum itu mengeluarkan perintah pengharaman itu pada 27 November 2020 terhadap buku yang ditulis Ngeo Boon Lin dan penerbitnya, Chong Ton Sin.

Menurut Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin ketika membaca keputusannya permohonan semakan kehakiman bahawa kandungan buku itu tidak membuktikan fakta atau asas undang-undang yang menyebabkan KDN mengharamkannya.

Jelasnya, KDN ketika itu telah mengeluarkan arahan pengharaman mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dengan alasan kandungannya memudaratkan ketenteraman, moral dan kepentingan awam.

Bagaimanapun kata Noorin, setelah meneliti keseluruhan buku itu, kandungan berkaitan homoseksual buku itu hanya daripada sudut perspektif agama Kristian.

“Setelah meneliti keseluruhan buku itu, mahkamah mendapati sepatutnya kandungan itu terhad kepada agama Kristian walaupun mungkin terdapat beberapa persepsi subjektif mengenai kandungan, penilaian dan nilainya.

“Selepas lebih tujuh tahun penerbitannya, responden gagal menunjukkan bukti bahawa benar-benar berlaku prejudis terhadap ketenteraman awam. Apabila tidak ada bukti, maka buku itu tidak menjejaskan sebarang ketententeraman awam.

“Malah suarakan pandangan adalah sebahagian daripada hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sebelum ini, dalam semakan kehakiman itu, pemohon mendakwa larangan KDN terhadap buku mereka itu tidak rasional kerana tidak ada kejadian yang tidak diingini yang dicetuskan bahan itu diterbitkan lebih tujuh tahun lalu.

Pemohon juga mendakwa  gagal untuk mengenal pasti bahagian mana dari buku itu yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam.

Dakwa mereka juga tidak diberi peluang mengikut Artikel 5 dan 8 (hak asasi dan hak kesamarataan) Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhujah walaupun tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang tempoh lapan tahun sejak buku itu diterbitkan, ia masih dianggap sebagai promosi homoseksual yang masih boleh menjejaskan umum. -MalaysiaGazette