KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menggantung prosiding saman sivil SRC International Sdn Bhd terhadap beliau yang membabitkan dana AS$1.18 bilion.
Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin memutuskan adalah prejudis jika saman SRC International itu diteruskan ketika kes rayuan membabitkan dana syarikat itu sebanyak RM42 juta di Mahkamah Persekutuan belum didengar lagi.
“Pendedahan penyataan pembelaan terhadap saman sivil SRC tidak akan menjejaskan Najib dalam kes ini. Mahkamah berpandangan keputusan rayuan Mahkamah Persekutuan tidak akan halang defenden daripada buat pindaan dalam pengakuannya.
“Perbicaraan saman penuh sendiri belum ditetapkan lagi untuk dimulakan dengan kadar serta merta, pengurusan kes itu perlu diteruskan,” katanya dalam prosiding yang diadakan secara maya hari ini
Ahmad Fairuz turut memerintahkan bekas Perdana Menteri itu memfailkan penyataan pembelaan berhubung saman sivil SRC International kepadanya sebelum 31 Mac ini.
Ia merupakan saman berhubung dakwaan melakukan pecah amanah jenayah dan melanggar kewajipan statutori berkaitan pinjaman RM4 bilion Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)(KWAP) kepada SRC International.
Pada 7 Mei lalu, SRC International di bawah pengurusan baharu telah memulakan tindakan perundangan terhadap Najib dan beberapa bekas pengarahnya iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.
Bagaimanapun, syarikat itu kemudiannya menggugurkan enam nama daripada saman tersebut, namun mengekalkan Najib sebagai defendan.
Dalam writ samannya, SRC International mendakwa Najib telah menyalahgunakan kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.
Najib merupakan Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.
SRC yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), menuntut ganti rugi am, teladan, tambahan dan faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pada 7 Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC setelah menolak rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.
Najib kemudian memfailkan notis untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan. – MalaysiaGazette