MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin mengarahkan tenteranya ke dua wilayah terpisah di timur Ukraine (wilayah Donbas) selepas mengiktiraf mereka sebagai tanah merdeka pada Isnin.
Bagaimanapun Barat bimbang krisis itu mampu mencetuskan perang besar.
Menurut seorang saksi Reuters, kereta kebal dan peralatan ketenteraan kelihatan bergerak melalui bandar Donetsk yang dikawal pihak pemisah selepas Putin secara rasmi mengiktiraf wilayah di timur Ukraine itu.
Arahan pengerahan tentera juga dikeluarkan Rusia untuk “menjaga keamanan”.
Kira-kira lima kereta kebal dilihat berada di pinggir Donetsk dan dua lagi di bahagian lain bandar tersebut, kata wartawan Reuters.
Namun tiada lencana pengenalan dilihat pada kenderaan tentera itu.
Pengumuman Putin dikecam Amerika Syarikat (AS) dan Eropah kerana melanggar ikrar sekatan yang baru dibuat namun ia tidak jelas sama ada langkah dibuat Putin ini adalah langkah besar pertama negara tersebut ke atas Ukraine ke fasa serangan berskala penuh sepertimana diberi amaran oleh Barat beberapa minggu lalu.
Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Linda Thomas-Greenfield berkata, dalam mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan, pengiktirafan Moscow terhadap wilayah timur Ukraine yang memisahkan diri adalah suatu langkah daripada percubaan Rusia mencipta alasan untuk tindakan ketenteraan terhadap Ukraine.
Tawaran berunding saat akhir untuk sidang kemuncak antara Putin dan Presiden AS, Joe Biden kini kabur, kata Pegawai Kanan AS.
Biden yang juga telah berhubung dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Canselor Jerman Olaf Scholz, menandatangani perintah eksekutif untuk menghentikan semua aktiviti perdagangan AS di wilayah Donbas dan mengharamkan import kesemua jenis barangan dari kawasan tersebut.
Jurucakap White House, Jen Psaki berkata, langkah itu berasingan daripada sekatan yang dikeluarkan AS dan sekutunya jika Rusia melancarkan tindakan ketenteraan besar-besaran keatas Ukraine.
Tambah White House lagi, arahan sekatan lanjut akan diumumkan pada Selasa.
Menurut Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, “perintah eksekutif ini direka untuk menghalang Rusia daripada mengaut keuntungan susulan pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy yang menerima solidariti daripada Biden menuduh Rusia memusnahkan tawaran rundingan damai dan menolak konsesi wilayah dalam ucapan kepada negara itu awal Selasa lepas.
Dalam ucapan yang disiarkan di television Rusia, Putin kelihatan marah dan menyatakan timur Ukraine adalah tanah purba milik Rusia.
Dalam rancangan yang sama juga, Putin disertai oleh pemimpin pemisah yang disokong Rusia menandatangani pengiktirafan kemerdekaan dua wilayah Ukraine yang diisytiharkan memisahkan diri, iaitu Republik Rakyat Donetsk dan Republik Rakyat Lugansk.
Setakat ini, menurut AS, Rusia telah mengerahkan 190,000 pasukan tenteranya di rantau itu termasuk wilayah terpisah. Amaran berkaitan pencerobohan bila-bila masa juga telah dikeluarkan. – Reuters
(https://www.reuters.com/markets/europe/kremlin-says-no-concrete-plans-summit-with-biden-over-ukraine-2022-02-21/)