Home Dunia Warga China di Ukraine dilarang pergi lokasi tak stabil

Warga China di Ukraine dilarang pergi lokasi tak stabil

Seorang anggota tentera Ukraine memegang senjata api di wilayah Donetsk di Ukraine. foto Reuters

BEIJING – Kedutaan China memberi amaran kepada warga negara China dan perniagaan di Ukraine supaya tidak meneroka kawasan “tidak stabil”.

“Pada masa ini, keadaan di timur Ukraine telah mengalami perubahan besar.

“Kedutaan China di Ukraine mengingatkan warga China dan perniagaan-perniagaan yang dibiayai China supaya memberi perhatian kepada notis keselamatan yang dikeluarkan di dalam negara dan tidak pergi ke kawasan yang tidak stabil,” kata Kedutaan China dalam satu kenyataan di laman webnya.

Awal bulan ini, negara-negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain dan Jerman telah meminta rakyat mereka untuk meninggalkan Ukraine kerana bimbang berlaku pencerobohan oleh Rusia.

Sebaliknya, China telah memberitahu rakyatnya di Ukraine untuk mengikuti perkembangan tempatan dengan teliti dan memastikan kedutaannya di Ukraine beroperasi secara normal, sambil mengkritik AS kerana “menghebohkan” ancaman perang.

Rusia menafikan sebarang rancangan untuk menyerang Ukraine tetapi telah mengancam tindakan “teknikal ketenteraan” yang tidak dinyatakan melainkan ia menerima jaminan keselamatan menyeluruh, termasuk janji bahawa jirannya tidak akan sekali-kali menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). – Reuters