Home Politik Zahid ingatkan ahli UMNO, jerat tak pernah lupakan pelanduk

Zahid ingatkan ahli UMNO, jerat tak pernah lupakan pelanduk

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengimbau kisah segelintir penyokong UMNO  yang belot kepada perjuangan parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Kata Presiden UMNO itu, kisah dan tindakan mereka terpengaruh dengan dakyah pembelot yang bersengkongkol dengan musuh menjatuhkan parti memang pahit untuk ditelan.

“Mereka terpesona dengan janji bulan bintang pembelot yang menawarkan lebih kesenangan andai musuh UMNO diberi undi dalam PRU berkenaan.

“Mereka terperangkap dengan naratif palsu pembelot konon mereka mahu mengalahkan UMNO adalah untuk selamatkan UMNO.

“Namun, penyokong UMNO terbabit menyaksikan sendiri apa yang dilakukan oleh musuh dan si pembelot terhadap parti sejurus memegang kuasa,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, betapa penghinaan dilemparkan ke atas UMNO dan penyokongnya selepas berjaya memperdayakan segelintirnya untuk membantu kemenangan mereka.

Malah beliau didesak supaya membubarkan parti manakala pemimpin yang enggan berpaling tadah serta akur kepada ugutan dan tawaran diasak serta ditekan.

“Tidak cukup dengan itu, mereka mengambil tindakan perundangan dalam usaha untuk mengisytiharkan UMNO sebagai parti yang tidak sah.

“Selepas usaha itu gagal, mereka menggunakan pula kuasa jabatan kerajaan dalam cubaan melemahkan struktur kepimpinan parti kerana bimbangkan kebangkitan UMNO.

“Kini, menjelang PRN Johor tiba-tiba mereka yang belot enggan mengaku mengkhianati UMNO walaupun berkomplot secara rasmi dan sahih dengan musuh pada PRU-14,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, tegas beliau, penyokong UMNO terbabit seterusnya mengitar semula skrip PRU-14 konon mereka mahu menyelamatkan UMNO dengan harapan ada dalam kalangan mereka akan masuk perangkap kali kedua.

“Kali ini mereka silap kerana selepas apa penyokong UMNO terbabit saksikan selepas 9 Mei 2018, mereka kembali meyakini Barisan Nasional (BN) satu-satunya gabungan politik yang benar dan berwibawa.

“Maka, seluruh ahli UMNO ingatilah peribahasa pelanduk melupakan jerat, tetapi jerat tidak melupakan pelanduk dan mereka sedang memasang jerat sekali lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette