Home Nasional Covid-19: Penggunaan katil ICU lebih 50 peratus di Kelantan, Johor, KL, Melaka

Covid-19: Penggunaan katil ICU lebih 50 peratus di Kelantan, Johor, KL, Melaka

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Enam negeri menunjukkan peratusan penggunaan fasiliti kesihatan bagi kes Covid-19 iaitu katil kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi atau sama dengan 50 peratus.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, ia melibatkan Kelantan dengan penggunaan sebanyak 78 peratus diikuti Johor (69 peratus), Kuala Lumpur (62 peratus), Melaka (54 peratus), Perlis (45 peratus) dan Selangor (45 peratus).

Manakala katil bukan ICU di 11 negeri iaitu Perlis (114 peratus), Kelantan (108 peratus), Selangor (99 peratus), Perak (95 peratus), Putrajaya (74 peratus), Johor (72 peratus), Kuala Lumpur (72 peratus), Sabah (70 peratus), Pahang (68 peratus), Terengganu (54 peratus) dan Pulau Pinang (51 peratus) menunjukkan peratusan pengisian melebihi atau sama 50 peratus.

“Katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang melebihi 50 peratus pengisian pula direkodkan di Perak iaitu sebanyak 72 peratus diikuti Selangor (70 peratus), Melaka (55 peratus) dan Sabah (51 peratus).

“Pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 180 pesakit dan pesakit-pesakit ini menggunakan 37 peratus daripada keseluruhan ventilator untuk pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19,” katanya menerusi perkembangan harianĀ  hari ini.

Namun Dr. Noor Hisham berkata, setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes yang memerlukan kemasukan ke PKRC, hospital dan ICU.

Sementara itu, katanya, terdapat perbezaan antara data harian kemasukan kes Covid-19 ke hospital berbanding kes Covid-19 kategori satu hingga lima yang baharu didiagnosa pada setiap hari.

Jelas beliau, ini kerana keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti Covid-19.

Sehingga semalam, kes Covid-19 yang dimasukkan ke hospital adalah berjumlah 1,520 kes dengan 545 kes (35.9 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 975 kes (64.1 peratus) merupakan kategori satu dan dua, ujarnya. – MalaysiaGazette