KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih kebangsaan yang baharu, Kim Pan Gon mengesahkan pemilihan E. Elavarasan bagi menggalas tugas sebagai penolong jurulatih tempatan dalam barisan kejurulatihan Harimau Malaya di bawah kendaliannya.
Elavarasan yang lahir pada 5 Januari 1962 kini merupakan ketua jurulatih Sarawak United FC, jawatan disandangnya sejak Februari 2020.
Beliau berjaya membawa pasukan itu muncul naib juara Liga Premier 2021, sekali gus layak ke Liga Super 2022.
Menurut Pan Gon, pemilihan jurulatih berusia 60 tahun kelahiran Selangor itu menepati kriteria utama yang dikehendakinya iaitu seorang jurulatih berpengalaman luas dengan senario bola sepak Malaysia dan cukup mengenali pemain-pemain yang sedang beraksi dalam Liga Super dan Liga Premier.
“Selepas meneliti calon-calon yang telah ditemuduga oleh Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell sebelum ini, saya sendiri telah bertemu Elavarasan untuk menemuduga beliau.
“Saya melihat Elavarasan sebagai calon terbaik dan individu paling sesuai untuk membantu saya dalam memberi informasi tepat, nasihat dan pendapat serta beberapa perkara lain,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Tambah Pan Gon, beliau juga melihat Elavarasan sebagai seorang jurulatih yang jujur, komited dan beliau sedia untuk memberi sepenuh kerjasama dalam usaha membantu kami barisan kejurulatihan baharu ini mengembalikan skuad Harimau Malaya ke satu tahap prestasi yang lebih baik.
Dalam pada itu, Elavarasan yang tidak pernah terbabit dalam mana-mana pasukan di bawah naungan FAM sebelum ini menyifatkan kepercayaan yang diberikan Pan Gon sebagai satu penghormatan.
“Saya melihat tugasan ini sebagai satu cabaran dan juga peluang untuk saya menyumbang di peringkat kebangsaan dan saya gembira diberi peluang terbabit dalam projek Pan Gon.
“Saya berharap semua anggota kejurulatihan di bawah seliaan Pan Gon dapat mencipta keserasian dengan segera untuk menghadapi tugasan utama tidak lama lagi.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada majikan saya Sarawak United yang sudi melepaskan saya lebih awal daripada kontrak saya dan tidak lupa kepada pemain dan penyokong yang memberi kerjasama kepada saya sepanjang khidmat saya di Sarawak United,” katanya.
Sebelum ini, Pan Gon telah memperkenalkan barisan kejurulatihannya yang terdiri daripada Pau Marti Vicente dari Sepanyol (penolong jurulatih), Cho Junho dari Korea (jurulatih penjaga gol), Dr. Gokhan Kandemir dari Turki (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun dari Korea (jurulatih analisis prestasi).
Skuad Harimau Malaya dijadual memulakan kem latihan pusat pertama mereka di bawah kendalian Pan Gon pada 14 Mac ini bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Filipina pada 23 Mac dan Singapura pada 26 Mac 2022, kedua-duanya di Singapura. – MalaysiaGazette