Home Nasional Jangan jadikan FELDA lubuk dadah – MBFM

Jangan jadikan FELDA lubuk dadah – MBFM

Pengedar dadah yang menjadikan tanah-tanah rancangan FELDA sebagai lubuk jual beli barangan terlarang kepada penagih perlu dipandang serius.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pengedar dadah yang menjadikan tanah-tanah rancangan FELDA sebagai lubuk jual beli barangan terlarang kepada penagih perlu dipandang serius.

Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Muhammad Fadzli Hassan berkata, pihaknya melahirkan kebimbangan ekoran kenyataan polis melalui laporan media mengenai kegiatan penagihan dadah di FELDA.

“Kawasan FELDA yang terlampau luas dan terletak di pedalaman memudahkan pengedar membuka laluan-laluan tikus untuk menyeludup masuk bekalan dadah ke dalam tanah-tanah rancangan malah membekalkannya juga di kampung-kampung berdekatan.

“Oleh itu, MBFM menyeru agar semua pihak berganding bahu samada pengurusan FELDA di tanah rancangan, pimpinan di peringkat blok, rancangan, wilayah perlu menjadi benteng
yang dapat mencegah gejala negatif ini.

“Kami percaya bahawa banyak inisiatif yang telah diambil oleh pihak pengurusan FELDA untuk menawarkan ruang membangunkan bakat dan membina masa depan generasi FELDA” katanya yang juga Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam satu kenyataan hari ini.

Bukan itu sahaja, MBFM sendiri giat menganjurkan program seperti KAMU (Kem Anak Muda) Belia Felda yang mendapat kerjasama erat daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), FELDA, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), katanya.

Muhammad Fadzli berkata, penganjuran program sebegini dapat mengelak tingkah laku negatif seseorang termasuklah penyalahgunaan dadah.

“Kami juga bersedia menjadi mediator bagi menawarkan kelompok ini peluang kedua bagi membangunkan diri mereka keluar daripada kancah penyalahgunaan dadah,” ujarnya.

Pihaknya juga mengharapkan pengurusan FELDA terus memberi perhatian berterusan terhadap isu yang sama termasuklah menjalankan program-program inovasi sosial dan transformasi melibatkan golongan muda. – MalaysiaGazette