Home Dunia Kanada keluar arahan sekatan ekonomi terhadap Rusia

Kanada keluar arahan sekatan ekonomi terhadap Rusia

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau.- Foto REUTERS/Patrick Doyle

OTTAWA – Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengumumkan pusingan pertama sekatan ekonomi terhadap Rusia sehari selepas Moscow mengiktiraf wilayah pemisah Ukraine sebagai wilayah bebas.

Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Jerman dan United Kingdom (UK) juga mengumumkan langkah yang sama bagi ‘menghukum’ Rusia dari segi kewangan kerana bimbang pencerobohan selanjutnya yang bakal dibuat Moscow.

Pemisah yang disokong Rusia (Donetsk dan Luhansk) memisahkan diri dari dari pentadbiran kerajaan Ukraine pada 2014, dan mengisytiharkan diri mereka sebagai “republik rakyat” bebas selepas Presiden Ukraine yang pro-Moscow digulingkan di Kyiv.

Trudeau berkata, kerajaannya akan melarang warga Kanada daripada berurusan secara kewangan dengan Donetsk dan Luhansk.

Kanada turut akan melarang warganya daripada terlibat dalam pembelian hutang kerajaan Rusia.

Kanada juga akan mengenakan sekatan terhadap ahli Parlimen Rusia yang mengundi untuk keputusan mengiktiraf Donetsk dan Luhansk sebagai wilayah bebas.

Sekatan juga akan dikenakan terhadap dua bank Rusia yang disokong kerajaan dan menghalang segala urusan kewangan dengan mereka, kata Trudeau.

Tambah Trudeau lagi, beliau juga akan mengerahkan tentera tambahan ke wilayah tersebut.

“Hari ini, saya membenarkan penempatan 460 anggota Angkatan Bersenjata Kanada (CAF) untuk Operasi Jaminan (Operation Assurance) yang akan melibatkan lebih ramai tentera ke Latvia, serta penempatan tambahan kapal perang dan peronda maritim,” katanya.

Perdana Menteri Kanada menyifatkan Rusia telah menceroboh secara jelasnya terhadap kedaulatan Ukraine apabila Presiden Rusia Vladimir Putin mengarahkan tenteranya ke timur Ukraine atas alasan “menjaga keamanan”.

“Jangan buat kesilapan, ini jelas sekali adalah pencerobohan lanjut ke atas negara berdaulat dan ia tidak boleh diterima sama sekali,” kata Trudeau sebelum menambah “belum terlambat untuk Rusia mendapatkan resolusi diplomatik”. – REUTERS

(https://www.reuters.com/world/europe/trudeau-announces-first-round-economic-sanctions-russia-over-ukraine-crisis-2022-02-22/)