Home Nasional Lawatan sulung PM ke Kemboja, Thailand 23 Februari ini

Lawatan sulung PM ke Kemboja, Thailand 23 Februari ini

Ismail Sabri
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob . Foto AMIRUL SHAUFIQ 21 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi sulung beliau ke Kemboja dan Thailand dari 23 hingga 26 Februari ini.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, lawatan tersebut bagi memenuhi jemputan Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen dan Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayut Chan-o-cha.

“Semasa lawatan rasmi ke Kemboja, Perdana Menteri dijadual mengadakan kunjungan menghadap ke atas Raja Kemboja, Yang Mulia Raja Norodom Sihamoni di samping pertemuan dengan Hun Sen untuk membincangkan pengukuhan hubungan dua hala, kerjasama pasca pandemik Covid-19, kerjasama ASEAN serta isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja dan seterusnya akan turut bertemu dengan Keluarga Malaysia di Kemboja,” kata kenyataan yang sama.

Semasa lawatan rasmi ke Thailand, Ismail Sabri akan mengadakan pertemuan dengan Prayut Chan-o-cha dan pertemuan itu memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin membincangkan hala tuju kerjasama pelbagai bidang antara Malaysia dan Thailand.

“Bidang-bidang utama meliputi kerjasama ekonomi, kerjasama pasca pandemik Covid-19, pembukaan sempadan antara kedua-dua negara, dan projek-projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat.

“Program Perdana Menteri turut meliputi sesi dengan Dewan Perniagaan Malaysia – Thailand (MTCC) dan sesi ramah mesra bersama Keluarga Malaysia di Bangkok.

“Lawatan-lawatan Perdana Menteri ke Kemboja dan Thailand mencerminkan hubungan rapat dan menyeluruh Malaysia dengan kedua-dua negara jiran and rakan ASEAN tersebut,” ujar Wisma Putra.

Tegasnya, ia juga dapat membuka peluang kepada Malaysia dan kedua-dua negara berkenaan untuk meneroka inisiatif bersama dalam usaha pemulihan pasca-pandemik, serta dalam menangani cabaran serantau dan antarabangsa.

Wisma Putra juga menjelaskan bahawa Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Lawatan-lawatan ini akan berlangsung mengikut pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard bagi pencegahan Covid-19 yang berkuatkuasa di Malaysia, Kemboja dan Thailand,” katanya. – MalaysiaGazette