Home Seni Hidup Lepas basikal, masjid hadiah motosikal pula kepada jemaah

Lepas basikal, masjid hadiah motosikal pula kepada jemaah

Selepas kejayaan menghadiahkan 40 buah basikal berharga RM20,000 kepada kanak-kanak dan remaja, Masjid Nur As- Sa’aadah, Kampung Pengkalan Batu di sini sekali lagi tampil dengan idea kreatif dalam usaha mengimarahkan rumah Allah.

MELAKA – Selepas kejayaan menghadiahkan 40 buah basikal berharga RM20,000 kepada kanak-kanak dan remaja, Masjid Nur As- Sa’aadah, Kampung Pengkalan Batu di sini sekali lagi tampil dengan idea kreatif dalam usaha mengimarahkan rumah Allah.

Kali ini, masjid berkenaan tampil dengan hadiah empat buah motosikal berharga RM16,000 kepada jemaah yang layak.

Pengerusi masjid, Datuk Amzah Osman berkata, syaratnya jemaah terpilih perlu memenangi empat kategori dipertandingkan pada Program Istiqamah Subuh dan Isyak Berjemaah 40 Hari berkenaan yang menawarkan motosikal jenis Modenas MR3 bernilai RM4,000 sebuah.

Program terbabit akan diadakan selama 40 hari bermula 1 Mac sehingga 9 April ini yang sehingga kini sudah mendapat lebih 30 penyertaan bagi keempat-empat kategori yang terbuka kepada semua umat Islam berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen motosikal

“Kategori pertama bagi program mengimarah masjid ini adalah khusus anak kariah, kedua kategori terbuka kepada penduduk luar manakala kategori tiga dan empat adalah untuk pegawai syarak, jawatankuasa dan pekerja masjid selain kaum wanita juga tidak terkecuali.

“Setakat ini, kita sudah menerima sumbangan empat buah motosikal daripada individu yang tidak walau satu sen pun menggunakan dana daripada tabung masjid.

“Apa yang kita harapkan, mudah-mudahan institusi masjid ini akan jadi mesra kanak-kanak dan remaja kerana mereka inilah yang akan menjadi pelapis rumah Allah ini pada masa depan,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amzah berkata, melalui Program Istiqamah Subuh dan Isyak Berjemaah 40 Hari peserta diwajibkan hadir solat Subuh dan Isyak secara berjemaah di masjid setiap hari selama 40 hari.

“Selain itu, pihak masjid juga para jemaah juga boleh mendapatkan mata tambahan jika dapat berjemaah di semua waktu atau program-program lain anjuran masjid yang akan meningkatkan peluang kemenangan mereka,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pengkalan Batu, Md Derus Tompang berkata, usaha itu mengimarahkan masjid itu amat baik khususnya dalam rangka menjadikan masjid sebagai pusat ekonomi Islam.

“Sebab itu kita bermula dengan solat berjemaah dan dari situ perlahan-lahan kita akan merancang dengan kariah menjadikan rumah Allah ini sebagai pusat perkembangan perniagaan.

“Setakat ini saya gembira kerana sambutan yang diterima amat menggalakkan dan kita percaya jika semua masjid dapat melakukan perkara sama, tiada lagi ahli kariah kita tertinggal baik terutamanya dari segi bantuan kebajikan,” katanya.

Sementara itu, bagi remaja Ahmad Aidil Ramadan Mohd Firdaus, 16, dia akan menggunakan peluang musim cuti sekolah bermula Jumaat ini untuk lebih kerap berjemaah di masjid berkenaan untuk memenangi motosikal selain beroleh ganjaran pahala yang lebih besar dijanjikan Allah.

“Saya melihat program ini amat baik kerana ia dapat menggalakkan lebih ramai remaja berjemaah di masjid walaupun saya sendiri pada awalnya hanya tertarik pada hadiah basikal dan motosikal.

“Tapi bila sudah 18 hari dapat berjemaah, mula timbul rasa seronok dan satu kerugian jika tertinggal solat Subuh berjemaah setiap hari dan saya yakin akan terus berjemaah walaupun selepas program ini tamat,” katanya.

Sebelum ini, Masjid Nur As- Sa’aadah menawarkan 40 buah basikal keseluruhannya berharga RM20,000 kepada kanak-kanak dan remaja yang berjaya menghadiri solat Subuh berjemaah selama 40 hari di masjid berkenaan bermula 9 Februari berakhir 20 Mac ini.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Basikal RM20,000 hadiah untuk 40 kanak-kanak, remaja solat Subuh berjemaah

 

1 Komen

Comments are closed.