KAJANG – Program Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) portal Malaysia Gazette (MG) terus komited dalam menyantuni dan membela nasib golongan yang sangat memerlukan ketika wabak Covid-19 masih menular.
Pelbagai bentuk sumbangan dihulurkan kepada golongan yang dikenalpasti bagi mengurangkan beban mereka.
Terbaharu pasukan MG Prihatin hari ini meluangkan masa di Pusat Penjagaan Warga Emas Rufaidah di Taman Jenderam Murni, Jenderam Hilir, dekat sini.
Mereka menyerahkan mesin basuh pakaian dan peti sejuk kepada pusat yang diuruskan Intan Salwah Bakri dan suaminya yang menyewa di taman perumahan itu sejak Mei 2017.
Seramai 12 warga emas menghuni pusat penjagaan warga emas itu.
Program CSR diteruskan dengan menyantuni pelajar Pusat Maahad Tahfiz Nur Al Deen di Taman Sungai Ramal, di sini yang berusia antara 7 hingga 17 tahun.
Kunjungan itu menyaksikan bantuan kewangan sebanyak RM15,000 dihulurkan kepada pusat tahfiz itu bagi tujuan membaiki dan menambah baik operasinya di tiga buah rumah yang disewa dengan kadar RM1,050 sebulan.
Bantuan tersebut diserahkan oleh Pengurus Pemasaran MG, Muhammad Zairul Adzuar Ahsorori kepada Pengerusi yang juga Pengetua pusat maahad tahfiz berkenaan, Azainuddin Abdullah.
Beliau yang teruja dengan sumbangan kewangan itu merakamkan kesyukuran dan menyifatkan ia merupakan sumbangan yang besar diterima pusat tahfiz tersebut.
Katanya, bantuan kewangan tersebut jelas membantu membaiki dan penambahbaikan pusat tahfiz tersebut.
“Kita mulakan sekolah tahfiz untuk fakir miskin dan anak yatim piatu ini sejak 2020 lagi menawarkan pendidikan secara percuma kepada anak-anak kurang berkemampuan.
“Pada mulanya kita memulakan sekolah ini di dua lot (rumah) dengan bilangan pelajar seramai 12 orang sahaja dan kini mempunyai 40 pelajar fakir miskin menerima pendidikan secara percuma.
“Untuk anak anak dewasa berusia 13 hingga 17 tahun kita sediakan asrama dan mengaji al-Quran serta pendidikan lain manakala untuk anak berusia 7 hingga 12 tahun mereka berulang-alik dari luar.
“Kita berbuat demikian untuk mengelak sebarang masalah disiplin dan sebagainya dan dua lot rumah ini yang dijadikan Maahad Tahfiz ini dibayar sewa RM1,050.
“Manakala kita hanya mengenakan yuran RM500 kepada ibu bapa yang berkemampuan sahaja dan jika duduk asrama ada penambahan RM100 sementara makanan percuma ditaja oleh nasi kandar Jalan Reko Kajang untuk makan tengahari setiap Isnin dan Khamis.
“Justeru kami sudah mendapat satu lagi tempat di Kajang Utama dan ia akan dijadikan asrama Maahad Tahfiz Nur Al Deen (Lil-Banin) untuk lelaki yang dijangkakan siap kerjanya Mac ini.
“Manakala asrama lelaki yang sedang digunakan di lot di sini akan diubahsuai sebagai asrama untuk pelajar perempuan memandangkan ibu bapa mereka berminat untuk menghantar anak perempuan mereka dengan kemudahan asrama,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan MG Prihatin jika ia sesuai.
“Sambutan masyarakat tempatan di sini dalam menghulurkan bantuan kepada kami sangat luar biasa dan pada masa sama kami menjalin kerjasama dengan buskers atau penyanyi jalanan menghebohkan peluang akademik kami yang ditawarkan untuk anak-anak fakir miskin dan yatim piatu,’ ujar beliau.- MalaysiaGazette