Home Nasional Pahang bina platform setinggi 5 meter di menara telekomunikasi

Pahang bina platform setinggi 5 meter di menara telekomunikasi

Datuk Fakharuddin Arif (tengah) ketika meninjau keadaan Menara Telekomunikasi Kampung Langgar di Pekan semalam.

KUANTAN – Pahang akan membina platform setinggi lima meter menempatkan kotak suis utama bagi menara telekomunikasi di kawasan banjir bagi mengelak ditenggelami air.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Fakharuddin Ariff berkata, ia sebagai pelan jangka masa panjang menangani kerosakan suis utama sumber tenaga dan peralatan elektrik ketika musim banjir.

Sehingga kini 18 menara dikenal pasti telah ditenggelami banjir lebih pada tiga meter sehingga kotak suis utama sumber tenaga dan peralatan elektrik  mengalami kerosakan total akibat bencana banjir ketika Monsun Timur Laut tahun lalu.

“Ketika musibah banjir melanda Pahang bermula hujung tahun lalu sehingga awal tahun ini, sebanyak 571 menara telekomunikasi di seluruh negeri ini telah terjejas.

“Apabila peralatan elektrik ini rosak dan kotak suis utama pula ditenggelami banjir maka perhubungan komunikasi juga akan terputus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru Fakharuddin berkata, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak telco telah mengambil tindakan segera menggantikan peralatan elektronik yang rosak dan menghantar genset sebagai punca bekalan elektrik sementara ketika itu.

Namun katanya  untuk jangka masa panjang, beliau telah berbincang dengan pihak SKMM agar sesuatu yang lebih konkrit dan kekal perlu dilakukan bagi mengatasi masalah berulang.

“Antara pendekatan yang akan dilakukan, SKMM telah meminta syarikat Telco (Digi, Maxis, Celcom, U-Mobile) untuk segera membina platform (tapak) lebih tinggi melebihi lima meter untuk menempatkan peralatan elektronik dan kotak suis utama menara.

“Ini bagi memastikan sekiranya terjadi lagi musibah banjir, semua peralatan elektronik dan kotak suis utama di 18 menara yang terlibat banjir itu tidak lagi ditenggelami air maka sistem komunikasi juga tidak akan terputus,” katanya.

Tambah Fakharuddin, sistem komunikasi di kawasan yang dilanda banjir perlu konsisten agar penduduk terperangkap banjir dapat terus berhubung bagi mendapatkan bantuan. – MalaysiaGazette