Home Nasional Pengarah syarikat direman atas dakwaan beri suapan RM2 juta

Pengarah syarikat direman atas dakwaan beri suapan RM2 juta

MACC Malaysian Anti-Corruption Commission 1MDB funds recovery assets
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan seorang pengarah syarikat pembinaan ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai RM2 juta.

Majistret Mohamad Fared Abdul Latif membuat keputusan lelaki berusia 63 itu mula direman hari ini sehingga 1 Mac depan.

Menurut sumber, pengarah itu telah bertindak memberi suapan kepada beberapa pegawai dan kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi mendapatkan kerja-kerja pembinaan jalan keretapi.

Kata sumber itu, projek itu berkait dengan pembinaan jalan keretapi dan pembangunan pelabuhan di Songkhla, Thailand yang dipercayai telah berlaku sekitar tahun 2016 dan 2017.

SPRM juga dipercayai masih lagi menyiasat individu yang terlibat dalam kes rasuah jutaan ringgit itu.

Suspek telah ditahan setelah hadir memberikan keterangan semalam, SPRM juga telah bertindak mengeledah rumah serta pejabat pengarah berkenaan.

Media melaporkan, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap mengesahkan tangkapan tersebut dan menyatakan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette