KULAI – Perikatan Nasional (PN) meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan semula Prosedur Operasi Standard (SOP) kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun terdapat kelonggaran namun SOP yang ditetapkan masih ketat dan kurang praktikal.
“Agak ketat juga. Ini langkah-langkah yang telah diperkenalkan macam ada sedikit kelonggaran tapi tak memadai kerana tempoh kempen tak panjang. Dua minggu nak perkenalkan calon orang tak kenal. Jadi kita nak minta supaya dipertimbangkan semula.
“Takkan orang dari 10 batu nak datang ke situ tidak praktikal sedangkan majlis sosial boleh, apa beza majlis kahwin kita kawal.
“Contoh, kalau ada 30,000 pengundi macam mana mahu nak kawal jadi saya tidak praktikal, jadi kena beri kelonggaran dan ini termasuk perkenalkan diri kepada masyarakat,” katanya selepas Program Ramah Mesra Warga FELDA di Felda Taib Andak, Kulai hari ini.
Tambah Muhyiddin, kelonggaran SOP itu tetap memberi kekangan kerana tempoh berkempen yang singkat.
Menurut SOP dikeluarkan SPR bagi PRN Johor, penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah dibenarkan sepanjang 14 hari tempoh berkempen.
Manakala ceramah dan kempen dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan rasmi dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang serta lima orang sahaja bagi ziarah kempen rumah ke rumah.
Dalam perkembangan lain, Presiden Bersatu itu menegaskan PN tidak gentar dengan tindakan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang mahu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri DUN yang pernah dimenangi partinya sebelum ini.
Ini kerana, menurutnya, parti yang baru empat bulan ditubuhkan itu tidak mempunyai hala tuju dan matlamat yang jelas.-MalaysiaGazette