Home Ekonomi TNB berjaya pasang 1.8 juta unit meter pintar

TNB berjaya pasang 1.8 juta unit meter pintar

Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Noor Afifah Abdul Razak (dua, kiri) menyerahkan plakad simbolik penghargaan kepada pelanggan meter pintar TNB yang ke 1.8 juta, Zawawi Abdullah yang turut ditemani isterinya, Jameah Hamed (tengah) pada majlis Perasmian Energy Transition Week di Putrajaya baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah berjaya memasang sebanyak 1.8 juta unit meter pintar sebelum penghujung tahun lalu dalam usahanya membantu inisiatif kerajaan menambah baik perkhidmatannya kepada pengguna.

Kejayaan itu membolehkan TNB mendokong usaha kerajaan meningkatkan perkhidmatan kepada pengguna melalui penyediaan akses, ketelusan dan kawalan penggunaan tenaga lebih baik kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din.

Menurutnya, pemasangan meter pintar merupakan salah satu dari inisiatif Grid Masa Depan (Grid of the Future) yang mana TNB perlu membuat pelaburan semula sejumlah RM9 bilion hingga RM10 bilion setiap tahun bagi memodenkan Grid Nasional jelas beliau.

“Grid Masa Depan mengadaptasi teknologi pintar, automatik dan digital bagi memastikan kecekapan, keboleharapan dan kelestarian yang maksimum di samping menyokong kelestarian tenaga masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Baharin, menerusi meter pintar serta gabungan portal dan applikasi myTNB, pengguna boleh memantau corak penggunaan dalam Ringgit Malaysia atau kilowatt-jam (kWj), melihat notifikasi penggunaan semasa pada hujung kitaran bil, serta impak penggunaan tenaga ke atas alam sekitar..

“Kami berharap, pengguna dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan meter pintar bagi sama-sama mencapai matlamat Better World. Brighter Lives katanya. – MalaysiaGazette