JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) menampilkan 70 peratus muka baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Daripada jumlah tersebut, 10 peratus terdiri daripada calon berusia 55 tahun.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penelitian telah dilakukan yang mana 80 peratus calon PRN Johor kali ini mempunyai kelulusan dalam akademik.
“Kita mempunyai tiga parti teras dalam BN iaitu UMNO, MIC dan MCA, disamping itu kita mempunyai sayap dan semua ini akan menjadi formula terbaik bagi Pengerusi BN jika mandat baharu diberikan kepada BN Johor nanti.
“Diharapkan campuran ini tidak melupakan mereka berpengalaman dan memberi kesinambungan baik untuk negeri dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pengumuman dan Penyerahan Watikah Calon BN di Dewan Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yakin penelitian yang dilakukan BN itu mampu membawa Johor menjadi sebuah negeri utama dan maju.
Beliau berkata, kumpulan yang dicalonkan ini merupakan perubahan besar yang akan memberi harapan baharu kepada rakyat dan negeri Johor.
“Berikan sokongan untuk dapat perkenan supaya Datuk Hasni dapat dilantik MB (Menteri Besar) Johor dan insyaAllah siapa yang menjadi calon akan bergerak untuk rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette