Home Politik Anak Osman Sapian ikrar teruskan legasi bapa di Kempas

Anak Osman Sapian ikrar teruskan legasi bapa di Kempas

Calon Pejuang, Nornekman Osman di DUN Kempas
The candidate from Parti Pejuang Tanah Air for the Kempas state assembly seat, Nornekman Osman, who is also the eldest son of the late Osman Sapian. Calon Pejuang, Nornekman Osman di DUN Kempas

MUAR – Anak sulung kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian, Nornekman Osman berikrar akan meneruskan legasi bapanya di kawasan itu.

Nornekman berkata selepas bapanya meninggal dunia pada Disember tahun lalu, beliau bertindak menggalas tugas untuk menyelesaikan perkara-perkara yang ditinggalkan oleh Osman sebelum ini.

“Apabila ayah saya meninggal dunia Disember lepas, saya pulang untuk melihat kawasan dan selesaikan berkenaan kakitangan dan program yang belum lagi dapat dilaksanakan. Saya ambil tanggungjawab tersebut dan selesaikan perkara-perkara yang tertunggak yang berada di Kempas,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Nornekman hari ini diumumkan sebagai calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau merupakan antara 42 calon yang diumumkan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada majlis di Muar hari ini.

Semalam, Pejuang berkata, parti itu akan meletakkan 42 calon di 56 kerusi PRN Johor.

Ditanya mengapa baru kini diumumkan sebagai calon, Nornekman berkata, bapanya meminta beliau untuk menimba ilmu politik terlebih dahulu sebelum mengambil pendirian untuk terjun dalam bidang politik.

“Saya sebenarnya sudah lama melibatkan diri dalam politik cumanya ketika ayah saya masih berkhidmat di Kempas, saya diberikan peluang untuk negeri Kedah.

“Jadi saya rasa itu antara syarat ayah saya untuk saya menimba ilmu di luar dan cari pengalaman di luar untuk saya mudah balik ke Johor dan berkhidmat,” katanya. – MalaysiaGazette