Home Nasional CAP bimbang penjualan kit kendiri Covid-19 palsu di pasaran

CAP bimbang penjualan kit kendiri Covid-19 palsu di pasaran

Mohideen Abdul Kader, the President of Consumers’ Association of Penang (CAP)
Mohideen.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk menyekat penjualan kit ujian kendiri Covid-19 dan dihadkan kepada farmasi atau rangkaian kedai bertauliah.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata, ia susulan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 di pasar raya, kedai serbaneka, stesen minyak dan sebagainya akan menyukarkan pemantauan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

“Penyebaran pantas varian Omicron menyebabkan lonjakan permintaan bagi kit ujian kendiri Covid-19 dan ini sekali gus mendorong sesetengah pihak menjual kit ujian palsu atau tidak diluluskan.

“Menerusi tinjauan CAP mendapati kit ujian kendiri Covid-19 mudah didapati di farmasi, pasar raya, kedai serbaneka 24 jam dan stesen minyak.

“Berikutan penjualan meluas mereka, kami ingin tahu sama ada ia dibenarkan oleh MDA atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohideen berkata, walaupun MDA mengenal pasti senarai sebanyak 12 syarikat dan produk mereka yang sudah diluluskan, kaedah itu menyusahkan pengguna bagi mengesahkannya di tempat pembelian.

Jelas beliau, terdapat kebimbangan mungkin ada pihak tidak bertanggungjawab menjual kit ujian kendiri Covid-19 palsu atau tidak diluluskan secara dalam talian.

“Adakah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sudah mengawal selia atau mengharamkan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 di platform dalam talian?

“Keputusan ujian palsu-negatif boleh menyebabkan seseorang berasa puas hati yang kemudiannya boleh membantu dalam penyebaran virus dan juga menghalang seseorang itu daripada mendapatkan perubatan awal,” kata beliau.

Sehubungan itu CAP mencadangkan supaya pihak berkenaan mencipta logo biasa, digabungkan dengan kod QR yang membolehkan pengguna mengenalpasti dan mendapatkan maklumat mengenai produk dengan mudah. – MalaysiaGazette