HIDUP bermasyarakat dalam kalangan komuniti berbilang kaum dan agama bukanlah sesuatu yang mudah dalam mencapai satu kata muafakat yang dipersetujui oleh semua pihak. Negara Malaysia telah dibentuk dengan persetujuan dan persefahaman di antara satu sama lain melalui satu pentadbiran kerajaan yang sentiasa memastikan keharmonian seluruh rakyatnya terjamin. Namun, isu perbalahan tentang kaum dan agama tidak pernah akan terhenti.
Dalam hal ini, masyarakat harus sedar, keadaan perselisihan faham tetap akan berlaku dari semasa ke semasa. Ia bukan sahaja berlaku di antara komuniti kaum dan agama yang berbeza, malah di pejabat, kejiranan, malah di antara ahli keluarga yang mempunyai pertalian darah. Jika diperhatikan dalam menghadapi beberapa krisis yang melibatkan isu perkauman dan agama, media di Malaysia dilihat sangat prihatin dan berhati-hati dalam melaporkan tentang isu tersebut. Ini kerana, masyarakat perlu faham tentang tanggungjawab serta peranan yang dipegang oleh media dalam sama-sama membantu kerajaan untuk menjaga keharmonian masyarakat setempat.
Namun, keadaan semakin mencabar dengan kewujudan era digital di mana salah satu cabaran terbesar adalah melalui platform sosial media seperti Whatsapp, Twitter, Facebook dan sebagainya yang menyediakan ruang untuk seseorang pemilik akaun untuk berkongsi hantaran mesejnya. Di sinilah juga perselisihan faham sering berlaku termasuklah yang melibatkan kaum dan agama. Terkini, media melaporkan tentang isu pemimpin yang telah membuat hantaran yang mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak yang menyentuh tentang agama.
Ironinya, jika seorang pemimpin sendiri mempunyai sifat yang tidak sensitif terhadap komunitinya, bagaimana pula dengan mereka yang dipimpin? Inilah juga yang dimaksudkan sama ada pemilik akaun individu atau kumpulan dengan sengaja atau tanpa sedar telah menyentuh sensitiviti sesetengah pihak. Dalam hal ini, masyarakat perlu lebih prihatin dalam mempertimbangkan perbezaan di antara hak bersuara, kebebasan bersuara dan tanggungjawab sebagai individu dan kumpulan dalam sama-sama menjaga keharmonian masyarakat majmuk ini.
Lebih mengecewakan, ada segelintir pihak yang lebih suka jika perpecahan berlaku dan berasa puas apabila melihat sebuah perpecahan dan pergaduhan. Ini jelas daripada komen-komen negatif yang berbaur provokatif yang memburukkan lagi keadaan sedia ada. Sebagai contoh, kes-kes murtad, hak penjagaan anak, terjemahan kelimah Allah, pengebumian dan sebagainya yang pernah berlaku dari semasa ke semasa. Adakah dengan lantang menyuarakan pendapat akan dapat memberikan apa-apa hasil yang baik?
Seharusnya, jika masyarakat menghargai perbezaan masing-masing, mungkin ramai yang akan diam dan menyerahkan sahaja kepada pihak berkuasa dalam membuat sebarang keputusan. Ini kerana isu-isu sensitif ini adakalanya dilihat lebih diperbincangkan dengan emosi berbanding dengan sifat rasional atau panduan daripada apa yang telah tertulis dalam Perlembagaan dan undang-undang sedia ada. Seperti yang telah disarankan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, bahawa orang ramai perlu cakna dan prihatin tentang isu-isu yang melibatkan agama dan kaum.
Melalui Dasar Keselamatan Negara 2021-2025, dalam konteks Malaysia, keselamatan negara bermaksud suatu situasi bebas daripada ancaman terhadap nilai-nilai teras negara sama ada ianya dari dalam ataupun luar negara. Jelas, perkara ini berkait rapat dengan usaha dalam memelihara untuk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang berdaulat, aman dan sejahtera. Dengan kesedaran tentang perselisihan memang sentiasa akan berlaku, adalah lebih baik dalam memfokus ke arah bagaimana untuk menyelesaikan sesuatu isu itu dengan cara yang paling baik. Masyarakat perlu faham bahawa sesetengah undang-undang yang diwujudkan yang dikatakan menyekat kebebasan dan hak bersuara seseorang individu atau kumpulan diwujudkan adalah demi untuk menjaga perpaduan kaum dan agama yang ada di negara ini.
Justeru, sudah tiba masanya untuk masyarakat Malaysia untuk tidak hanya mengikut dan cuba mencapai perpaduan melalui atas kertas sahaja, tetapi menanam semula sifat-sifat ketimuran yang penuh dengan adab sopan. Jika setiap rakyat faham dengan jelas bahawa perlunya ada tolak ansur dan saling menghormati di antara perbezaan yang wujud dalam kalangan masyarakat, pasti Malaysia akan menjadi simbol atau contoh kepada negara-negara lain dalam membuktikan bahawa kepelbagaian itu akan lebih membawa kepada perkara yang positif yang baik. Ini kerana masing-masing mempunyai ciri-ciri keunikan yang membawa kepada maksud majmuk itu sendiri.
Oleh: Dr Safiyyah Ahmad Sabri
Pensyarah Kanan
Program Komunikasi
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia
Nilai, N. Sembilan.
Perpaduan pelbagai etnik ke sedangkan majoriti China dan India masih dipisahkan daripada Keluarga Malaysia.
Tanahair Melayu di pulau sekangkang anak kera masih terpisah dengan perpaduan pelbagai etnik dengan tanahair Melayu sekangkang bapak kera.