Home Utama Leissner perkenal tempat latihan, saya jadi gadis power point – Nooryana

Leissner perkenal tempat latihan, saya jadi gadis power point – Nooryana

Nooryana Najwa Najib TPG intern Goldman Sachs Tim Leissner 1MDB scandal Roger Ng job opportunity
Nooryana Najwa Najib

KUALA LUMPUR – Nooryana Najwa Najib mengakui dia pernah bertemu dengan Roger Ng dan Tim Leissner sekadar untuk mengetahui tentang peluang program analisis di Goldman Sachs.

Katanya, dia memang mahu mencuba nasib untuk bekerja dengan Goldman Sachs.

Anak Datuk Seri Najib Razak itu berkata, sebagaimana impian rakan-rakan sebayanya, dia juga meletakkan impian untuk bekerja di institusi kewangan utama kerana di situ mereka akan terdedah dengan perundingan, perbankan pelaburan dan ekuiti persendirian.

”Mana-mana penuntut senior kolej akan membuktikan bahawa kita perlu melakukan kerja asas dan rangkaian dengan profesional industri untuk mendapatkan pekerjaan yang kompetitif yang sepadan dengan minat kita,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Nooryana adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Politik Sains Antarabangsa dan Polisi Luar Negara dari Universiti Georgetown di Washington.

Oleh itu, beliau mahu mencari kerja yang berkaitan dengan kewangan dan polisi kerajaan.

Namun dia dimaklumkan bahawa impiannya itu boleh menjadi konflik kepentingan kerana Goldman Sachs menjalankan perniagaan dengan Kerajaan Malaysia.

Leissner kemudian memperkenalkannya dengan Kumpulan TPG, sebuah firma ekuiti persendirian.

Firma ini, kata Nooryana, mengumpul dana pelaburan daripada pelabur institusi strategik (terutamanya dana pencen dan dana kekayaan negara).

Katanya, ini bermakna latar belakang pendidikannya bersesuaian dengan firma ini.

”Saya ditemuduga untuk jawatan pelatih penganalisis di pejabat TPG di London. Ya, seorang pelatih. Ini bermakna saya perlu bersedia untuk menerima apa sahaja arahan.

”Selain skop kerja teras, saya juga bertanggungjawab menyiapkan kerja yang diperlukan. Saya adalah gadis PowerPoint, gadis fotostat, gadis kopi dan gadis penghantar, sekadar menamakan beberapa tugas yang dilakukan.

“Ini kerana TPG mematuhi proses pematuhan yang ketat,” jelasnya.

Kata Nooryana, TPG mempunyai ketetapan dalaman yang ketat memandangkan bapanya berada dalam kerajaan, lantaran itu beliau tidak akan dibenarkan untuk mengambil bahagian dan/atau bekerja pada mana-mana yang membabitkan akaun pelabur Malaysia.

Selepas kira-kira 11 bulan sebagai pelatih, beliau dinaikkan pangkat kepada penganalisis sepenuh masa berikutan semakan prestasi dalaman dan dipindahkan ke pejabat TPG Hong Kong.

Di Hong Kong, Nooryana menghabiskan satu setengah tahun bekerja dalam pengumpulan dana TPG Asia.

”Saya kemudiannya meninggalkan TPG pada Jun 2015 untuk menumpukan pada perniagaan saya dan memohon melanjutkan pendidikan,” ujarnya.

Leissner ketika memberi keterangan di mahkamah kelmarin memberitahu, satu pertemuan antara Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs, Lloyd Blankfein, diadakan pada 2009 yang membawa kepada satu agenda.

Beliau mendakwa, sebagai balasan kepada perniagaan lumayan, peluang kerja diberikan untuk anak Najib di bank pelaburan multinasional AS berkenaan.

Leissner adalah saksi penting dalam perbicaraan jenayah membabitkan bekas eksekutif Goldman Sachs, Roger Ng yang berlangsung di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York. – MalaysiaGazette