Home Rencana Nasihat rakyat buat pimpinan Pas

Nasihat rakyat buat pimpinan Pas

Abdul Hadi Awang. PAS PH Pakatan Harapan Perikatan Nasional cooperation PASLeak Pas Leak
Abdul Hadi Awang.

UCAPAN Presiden Pas, Abdul Hadi Awang sewaktu majlis pelancaran jentera Perikatan Nasional (PN) di Kota Tinggi, Johor baru-baru ini berhujah Parti Ikatan Demokratik Malaysia atau dikenali sebagai MUDA merupakan umpan DAP untuk memancing undi belia Melayu. Penulis berpandangan bahawa kenyataan tersebut menimbulkan seribu satu kesangsian. Beberapa persoalan fundamental yang ingin dibangkitkan di sini adalah apakah sebenarnya yang PAS mahu?

Dan sampai bilakah mantera anti-DAP itu hendak diperdagangkan kepada orang Melayu Islam di luar sana terutama sekali pengundi muda? Adakah PAS hanya ingin menjatuhkan DAP semata-mata atau ingin memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor? Jikalau DAP dan Pas ternyata tewas di dalam PRN Johor, adakah boleh dianggap bahawa PAS sudah mencapai objektif hakiki?

Dan apakah sebenarnya yang Pas mahu? Oleh itu terdapat kebenaran daripada apa yang pernah diungkap suatu ketika dahulu oleh seorang tokoh fizik yang tersohor iaitu Albert Einstein bahawa pengertian politik itu lebih sukar daripada fizik. Jikalau pemikiran dan gelagat politik itu bersifat setara nescaya masyarakat berupaya untuk mengecapi keharmonian hidup. Malang sekali aspek politik itu diibaratkan seperti jauh panggang dari api.

Jika mantera anti-DAP itu dilihat sebagai satu komoditi yang akan melariskan penjenamaan kepartian mereka di dalam skala yang besar maka PAS ternyata silap. Dan ini sama sekali tidak mencerminkan semangat Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang kerap kali dilaungkan oleh Pas dan pada hakikatnya minda kepartian masih lagi di takuk pemikiran pasca-kolonial yang menyemai benih kebencian di antara satu sama lain di dalam kerangka masyarakat pluralisme.

Penulis berpendapat bahawa di saat sebahagian besar rakyat di luar sana yang sedang bergelut dengan ketidakstabilan sosio-ekonomi pada waktu ini maka amat tidak wajar sekali untuk disajikan kepada mereka ini dengan retorik seperti anti-Melayu Islam yang dilihat masih lagi tidak mempunyai asas yang kukuh. Jikalau parti seperti DAP masih lagi dilabelkan dengan jolokan seperti anti-Melayu/Islam, anti-Raja-raja dan sebagainya, masakan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong mendapat perkenan untuk menghadap Tengku Mahkota Johor (TMJ) baru-baru ini.

Secara tidak langsung ini mempamerkan satu perkembangan yang sihat di mana pihak Istana meraikan politik yang bersifat merentas kepartian dan desentralisasi pendapat awam disambut baik. Oleh itu, titik noktah perlulah disematkan dengan kadar segera. Sampai bila mahu menutup kelemahan sendiri dengan merencanakan pembantaian moral ke atas pihak lain. Sedangkan pada waktu ini, Pas juga kurang kritikal terhadap beberapa isu yang berbangkit dan jelas berbeza sekali sewaktu menjadi pembangkang sebelum tercetusnya Langkah Sheraton.

Cukup-cukuplah dengan sajian menu anti-DAP ini. Alangkah bagusnya jika Pas mampu berbahas mengenai hala tuju ekonomi, sosial, dan politik di negara ini dan menerangkan kepada rakyat di luar sana mengenai perancangan masa hadapan yang boleh dilakukan oleh Pas di atas kapasiti sebagai sebahagian daripada parti pemerintah. Dan mungkin juga boleh mengotakan beberapa janji yang pernah diperjuangkan sewaktu menjadi blok pembangkang di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

Dan mungkin juga boleh bertindak dengan drastik untuk memprojekkan agenda memperkasakan Islam dengan menekan Parlimen untuk memberikan laluan bagi membahaskan RUU355. Medan sudah ada di depan mata dan penulis percaya bahawa Pas sudah tidak memerlukan Padang Merbok untuk membahaskan RUU355, bukan? Ironinya apabila sudah berjaya memposisikan diri di koridor kuasa, lain pula hujah yang kedengaran, seperti “masih terlalu awal untuk tentukan”, “jangan tanya bila nak buat hudud”, “jangan terpengaruh dengan suara-suara sumbang”, “dulu berapi-api sebab kita pembangkang” dan sebagainya.

Oleh itu kita boleh bayangkan bahawa jika pentadbiran PH ditanyakan mengenai prestasi manifesto yang dipertaruhkan oleh mereka dan jawapan sama yang diberikan oleh Pas disajikan oleh PH kepada rakyat. Adakah Pas akan menerima alasan berikut dengan jiwa yang besar? Ternyata justifikasi sedemikian
jelas membantutkan akal pemikiran orang ramai kerana kunci kepada politik kebenaran itu seolah-olah hanya boleh ditafsir sesuka hati mengikut kesesuaian mereka. Maka tidak hairanlah konsep seperti penunggang itu sering kali berlegar. Sebelum ini juga kita pernah terdengar akan ngauman puitis seperti “sebuah kesepakatan yang membuat malaikat di langit melaungkan Takbir sehingga bergema ke seluruh penjuru alam”.

Tetapi apa sudah jadi pada hari ini? Realiti di lapangan ternyata berbeza sekali, seperti yang boleh dilihat sewaktu di dalam PRN Melaka dan Johor, tidak pula mencerminkan kesepaduan politik sesama ahli di dalam Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO. Jikalau sesama mereka di dalam MN sudah mula berbalah dan membuka aib politik masing-masing, maka tidak syak lagi bahawa yang ingin dipertahankan dan ditegakkan adalah keberahian kuasa politik dan bukan pertalian politik saudara seagama.

Akhir kata, banyak lagi alasan yang boleh direka khusus untuk menutup kelemahan prestasi pentadbiran selain daripada mantera anti-DAP yang dijaja sepanjang masa. Adakah negara ini boleh diselamatkan dengan hanya melorongkan DAP jalan keluar daripada landskap politik
tanah air?

Oleh: Dr. Ariff Aizuddin Azlan
Penulis merupakan Felo Penyelidik di Pusat Kajian Demokrasi dan
Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)