Home Nasional Penduduk Taman Cendana teruja jumpa Najib

Penduduk Taman Cendana teruja jumpa Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Program Jom Bersama Bossku sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 di Taman Cendana, Pasir Gudang, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Kehadiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Blok 43 Taman Cendana, Pasir Gudang di sini menjadikan seluruh kawasan flat berkenaan begitu meriah.

Datuk Seri Najib yang tiba di situ kira-kira pukul 3.30 minit petang menghabiskan masa bertemu penduduk di situ selama 30 minit.

Penduduk di situ juga tidak melepaskan peluang merakamkan detik-detik indah bersama bekas pemimpin nombor satu negara itu.

Kehadiran beliau dalam lawatannya ke rumah pangsa berkenaan turut dihadiri Naib Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Khaled Nordin dan calon Permas, Baharuddin Mohd Taib.

Penduduk, Midah Mohd Daif, 48 berkata, kunjungan Najib di kawasan perumahan pangsa itu menyebabkan dia dan penduduk kejiranan di situ teruja kerana berpeluang melihat Najib dengan lebih dekat.

“Saya memang pengikut Najib, sebab itu teruja berjumpa dia di sini,” katanya.

Najib Razak melambai tangan ke arah penduduk semasa hadir pada Program Jom Bersama Bossku sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 di Taman Cendana, Pasir Gudang, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2022.

Sementara itu, seorang lagi penghuni pangsa di Taman Cendana Pasir Gudang, Haslinda Hashim, 43, berkata, dia sanggup menunggu dua jam kehadiran Najib di situ.

Beliau yang gembira dapat menemui bekas perdana menteri itu berkata, dia mengetahui lawatan Najib menerusi pesanan Whatsapp penduduk.

”Saya teruja sangat nak jumpa beliau. Saya tiba di sini dalam 2.15 petang. Walaupun dari penempatan Desa Rakyat tapi saya sanggup datang,” ujarnya.

Bagi Shamsul Bahrin Ibrahim, 48, kehadiran “Bossku” di kawasan itu juga membuktikan kesediaan Najib menjenguk rakyat walaupun sudah tidak ada jawatan.

Katanya, walaupun Najib ditohmah dan difitnah namun melupakan jasa beliau tidak sama sekali.

”Saya tengok bukan saya sahaja yang teruja tetapi semua penduduk di sini,” katanya. – MalaysiaGazette