Home Politik PRN Johor: Hasni poster boy BN – Zahid

PRN Johor: Hasni poster boy BN – Zahid

Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad berucap pada Majlis Pengumuman dan Penyerahan Watikah kepada Calon Barisan Nasional sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 di Dewan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dipilih sebagai ‘poster boy’ untuk Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Hasni yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut akan dikekalkan sebagai Menteri Besar Johor jika BN berjaya membentuk kerajaan.

Zahid Hamidi (dua dari kiri) memilih Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad sebagai ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

“Jadikan dokongan bahawa kita akan mengemukakan ‘poster boy’ kita untuk mendapat perkenan dan terus dilantik sebagai Menteri Besar Johor iaitu Datuk Hasni Mohammad.

“Insya-Allah siapa pun yang menjadi calon BN, semua parti-parti komponen akan bergerak bersama tanpa mengira parti mana kita datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRN Johor di Pejabat UMNO Negeri Johor, di sini, hari ini.

Tambah beliau, parti komponen BN akan bekerjasama dan mengenepikan perbezaan pendapat untuk memenangi PRN Johor.

Terdahulu, Hasni selaku Pengerusi BN Johor berkata, UMNO akan bertanding sebanyak 37 kerusi DUN diikuti MCA (15 kerusi) dan MIC (empat kerusi). – MalaysiaGazette