MUAR – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) hari ini mengumumkan 42 senarai calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut menyenaraikan Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Shaharuddin Mohd Salleh untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap.
“Semoga tawaran calon kita ini untuk rakyat Johor diberikan petunjuk dan diberikan kemenangan oleh Allah,” katanya ketika mengumumkan calon PRN Johor, di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya.
Untuk rekod, kerusi Machap bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru antara UMNO, PH, Parti Ikatan Demokratik (MUDA) dan Pejuang dan Perikatan Nasional (PN).
Dalam pada itu, Mukhriz berkata, Pejuang turut mengetengahkan anak sulung kepada bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.
Nornekman Osman ditempatkan di DUN Kempas yang pernah ditandingi bapanya pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).
“Memang DUN di mana Allahyarham Osman berkhidmat dulu maka anaknya telah dipilih menjadi calon (Pejuang),” jelas Mukhriz.
Menteri Besar Johor ke-16 itu meninggal dunia pada 22 Disember tahun lalu.
Allahyarham memenangi kerusi itu pada PRU14 lalu dengan majoriti 9,178 undi atas kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Mukhriz berkata, komposisi calon yang diketengahkan Pejuang adalah muka-muka baharu kerana kali pertama dalam PRN.
“Kebanyakkan mereka adalah orang-orang yang kali pertama menyertai parti politik, dan ada juga yang datang daripada parti yang lain sebelum Pejuang ditubuhkan.
“Ramai juga dari sektor swasta, NGO dan akademik, kita fikir secara mendalam agar kita dapat tubuhkan kerajaan negeri sekiranya kita diberikan mandat oleh rakyat,” katanya.
Mukhriz berkata, empat daripada calon Pejuang adalah wanita berusia di bawah 50 tahun.
“Mereka datang dari pelbagai latar belakang politik dan kebanyakan pertama kali menyertai politik,” katanya. – MalaysiaGazette