Home Utama Tabung Haji umum agihan keuntungan 3.10 peratus untuk tahun kewangan 2021

Tabung Haji umum agihan keuntungan 3.10 peratus untuk tahun kewangan 2021

Tabung Haji TH Dividend profit rate 3.1% 2021
Orang ramai yang datang untuk berurusan dengan kaunter Tabung Haji ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Menara Tabung Haji Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.10 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Ia melibatkan pengagihan sebanyak RM2.46 bilion, iaitu RM219 juta lebih tinggi berbanding RM2.24 billion bagi tahun kewangan 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, agihan keuntungan ini didorong daripada prestasi dan kedudukan kewangan yang semakin baik.

Pada masa sama ia juga berdasarkan strategi pelaburan yang mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemat, ujarnya.

“Agihan keuntungan ini adalah kompetitif mengambil kira antara lainnya faktor mana kadar agihan bagi tahun 2021 adalah lebih tinggi dari purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan iaitu, 2.36 peratus,” katanya ketika sidang media Pengumuman Agihan Keuntungan TH 2021.

Dalam pengumuman yang sama Idris berkata, kedudukan kewangan TH terus kekal kukuh dengan aset berjumlah RM88.73 bilion melebihi liabiliti berjumlah RM85.51 bilion pada 31 Disember 2021.

Manakala jumlah simpanan deposit yang dijamin oleh kerajaan mencecah RM83.33 bilion.

Menurut Idirs, TH mampu mengekalkan agihan keuntungan yang mapan walaupun dalam suasana ekonomi yang mencabar.

“Jumlah ini adalah yang tertinggi didalam sejarah TH sejak 59 tahun penubuhannya. Jumlah kos operasi juga menurun sebanyak empat peratus berbanding tahun 2020 hasil daripada langkah pengurusan kewangan yang berhemah,” katanya lagi.

Ditanya mengapa agihan keuntungan TH mencatatkan kadar yang sama untuk tiga tahun berturut-turut meskipun tiada operasi haji selama dua tahun, Pengerusinya, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, pengurusan perlu mengambil kira aspek penjimatan operasi lain dan tabungan pendeposit.

“Walaupun kita dapat jimat tidak semua kos dapat kita jimat sama ada pengurusan dan pelbagai kos lain tidak semua kita jimat,” katanya. – MalaysiaGazette