Home Politik Apa motif MUDA letak calon di Larkin?- PKR

Apa motif MUDA letak calon di Larkin?- PKR

JOHOR BAHRU – Keputusan Parti Ikatan Demokratik (MUDA) mencetuskan pertembungan sesama pembangkang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.44 Larkin tidak akan mengganggu fokus Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Walaupun MUDA mempunyai hak demokrasi untuk meletakkan calon di mana-mana kerusi yang mereka inginkan, namun motif sebenar parti tersebut mahu meletakkan calon di Larkin sedangkan PKR telah menamakan calonnya tetap dipersoal.

“Apa motif sebenar MUDA mahu meletakkan calon di DUN Larkin sedangkan PKR telah menamakan seorang tokoh professional dan berpengalaman?” soalĀ Pengarah Kempen Pilihan Raya (PKR) DUN Larkin, Akmal Nasir.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengulas tindakan MUDA mengumumkan calonnya, Rasid Abu Bakar bertanding di kerusi Larkin semalam.

Menurut Akmal, keputusan MUDA itu jelas bertentangan dengan pendirian awal presiden parti itu untuk tidak bertanding di kerusi yang turut ditandingi PKR.

“Hasrat kita nak mengalahkan UMNO dan BN. Mengapa tindakan kamu (MUDA) itu seolah-olah memberikan kelebihan kepada mereka.

“Kita nak menang untuk rakyat. Ini bukan soal berebut kerusi, soalnya sekarang calon kami di Larkin ini adalah yang terbaik yang kami boleh tonjolkan,” tambahnya.

Selain itu, katanya, tindakan MUDA hanya akan menyebabkan pertembungan banyak penjuru di Larkin termasuk dengan PKR.

“Berdasarkan maklumat dan maklum balas yang diterima, setakat ini terdapat sekurang-kurangnya enam calon yang akan masuk bertanding, termasuk calon bebas di DUN ini,” Kata Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru.

Ditanya mengenai gerak kerja kempen di Larkin, Akmal yang juga merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, pihaknya mengharapkan jentera DAP dan Amanah komited untuk menewaskan calon parti lain.

Disamping itu, beliau turut menyeru agar seluruh jentera PKR di DUN Larkin unuk kekal fokus untuk memenangkan calon mereka.

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan calon mereka iaitu Rasid Abu Bakar yang juga Ketua Penerangan Muda Johor pada sesi pengumuman calon bagi DUN Larkin, Machap dan Parit Raja.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengumumkan nama calon mereka di Larkin iaitu Dr. Zamil Najwah Arbain selepas rundingan bersama MUDA gagal mencapai kata sepakat. – MalaysiaGazette