KUALA LUMPUR – Dunia bola sepak menunjukkan sokongan terhadap negara di Timur Eropah, Ukraine yang kini bergelut dengan tindakan ketenteraan dari Rusia.
Dalam perlawanan Liga Europa UEFA, pemain tengah Atalanta, Ruslan Malinovskiy menunjukkan sokongan kepada negaranya ketika menentang Olympiacos pada pusingan 32 liga tersebut.
Pemain bola sepak kelahiran Ukraine itu mendedahkan mesej “tiada perang di Ukraine” yang ditulis pada jersinya selepas menjaringkan gol dalam Liga Eropah pada malam Khamis lalu.
Malinovskiy menjaringkan dua gol menewaskan Olympiacos 3-0 di Greece, menurut laporan agensi dan media sosial.
Dalam liga sama, Zenit St Petersburg, satu-satunya kelab Rusia yang bermain menentang Real Betis di Seville dan stadium menyaksikan tuan rumah mengangkat bendera Ukraine sebagai tanda sokongan.
Zenit menanggung kekalahan agregat 3-2 selepas jaringan kecederaan yang dibatalkan Video Pembantu Pengadil (VAR).
Sementara itu, pemain pertahanan berbangsa Ukraine, Yaroslav Rakitsky digugurkan dari skuad kesebelasan utama menentang Real Betis kerana bersuara menentang pencerobohan yang berterusan.
Pemain bek kiri Manchester City dari Ukraine, Oleksandr Zinchenko tidak beraksi malam tadi tetapi beliau turun berdemonstrasi di Manchester untuk menunjukkan sokongan kepada negaranya.
Dalam sebuah lagi pertemuan Liga Europa di Stadium Diego Armando Maradona, pemain Barcelona dan Napoli berdiri bersama dibelakang sepanduk besar yang bertulis “Hentikan Perang”, merujuk kepada konflik perang yang sedang berlaku di Ukraine.
Barcelona menang agregat 5-3 menentang Napoli selepas aksi solidariti terhadap Ukraine oleh kedua-dua pasukan tersebut.
Peminat kelab dari Croatia, Dinamo Zagreb memegang sepanduk yang bertulis “Sokongan Kepada Rakyat Ukraine”.
Tuan rumah Stadion Maksimir itu menang 1-0 ke atas Sevilla.
Peminat kelab dari Norway, Bodo/Glimt turut menunjukkan solidariti mereka dengan yang terjejas di Ukraine dengan memegang bendera negara tersebut dalam perlawanan menentang Celtic.
Pemain Slavia Prague memakai baju-T Ukraine sebelum pertemuan menentang kelab Turki, Fenerbahce dalam Liga Persidangan Europa, yang tertera; “Kami Berdiri Bersama Ukraine”.
Slavia juga menjadikan pemain pertahanannya yang berasal dari Ukraine, Taras Kacharaba sebagai kapten pada malam perlawanan tersebut. – Agensi