JOHOR BAHRU – Seluruh jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan tidak terlalu yakin dalam menghadapi parti-parti yang bersaing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Datuk Ahmad Maslan.
“Kita jangan berharap kepada semangat PRN Sarawak dan PRN Melaka sahaja tetapi kita perlu bersemangat sendiri, sebagai ‘Bangsa Johor’, sebagai rakyat Johor dan sebagai pengundi Johor.
“Ingat, kita mahu menjadikan Johor sebagai negeri termaju, termaju di negara, maju buat rakyat dan keluarga. Oleh itu kita jangan terlalu ‘over confident’,” katanya ketika diwawancara MalaysiaGazette malam tadi.
Ini kerana, katanya, BN tidak tahu parti-parti lain juga memiliki ‘senjata-senjata’ yang BN tidak tahu.
Oleh itu, BN perlu sentiasa berwaspada dan terus bekerja keras dengan bersungguh-sungguh mendekati pengundi Johor.
Namun, Ahmad yakin kejayaan BN di Melaka dan rakan karibnya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan ‘berjangkit’ di Johor.
“Insya Allah kita boleh menang pilihan raya ini dengan izin Allah SWT,” katanya.
Ahmad menambah, di PRN Melaka, BN menang 75 peratus kerusi yang dipertandingkan.
BN menampilkan 70 peratus muka baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Daripada jumlah tersebut, 10 peratus terdiri daripada calon berusia 55 tahun. – MalaysiaGazette