Home Politik MCA yakin tebus balik kekalahan lalu

MCA yakin tebus balik kekalahan lalu

YONG PENG – Kekalahan MCA pada pilihan raya lepas terutamanya di negeri Johor akan ditebus kembali dengan kemenangan lebih besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Malah kemenangan itu pastinya akan dapat direalisasikan dengan undi yang bakal diberikan oleh rakyat yang sudah ‘muak’ dengan janji bulan bintang oleh pembangkang selama ini.

Itu antara keyakinan yang diluahkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong pada sambutan Ulang Tahun MCA yang ke-73 hari ini.

Kata Ka Siong, kestabilan politik dan kemakmuran antara masyarakat berbilang kaum di negara ini adalah inti pati penting namun sejak kebelakangan ini, keadannya tidak lagi seperti dulu.

“Rakyat semakin bijak dan matang sebenarnya. Ketika Barisan Nasional (BN) memerintah, situasinya berlainan sekali jika hendak dibandingkan sejak kebelakangan ini.

“Apabila berjaya menjadi kerajaan selepas menjanjikan bulan dan bintang, kerajaan Pakatan Haparan (PH) pelbagai alasan dan segala macam, sebelum menang semuanya boleh.

“Itu berlainan sekali dengan kerajaan BN yang memerintah selama ini, rakyat sudah tahu. Rakyat boleh buat perbandingan antara BN dan PH. Kestabilan politik itu penting.

“Kali ini MCA akan tebus balik kekalahan sebelum ini yang kebanyakannya berlaku kerana janji retorik.

“Dua pertiga calon-calon kita semuanya bukan sahaja wajah baharu sebaliknya tergolong dalam kategori generasi muda namun dikenali dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya hari ini pada majlis sambutan ulang tahun MCA dan penyerahan bendera BN kepada 15 calon di Yong Peng.

MCA mempertaruhkan sembilan muka baharu daripada 15 calon antaranya Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Chan Shan Shan bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya, Lee Ting Han (Paloh), Tan Hiang Kee (Perling) dan Lim Soon Hai (Skudai).

Bagi kerusi DUN Puteri Wangsa, Ka Siong mengumumkan Ng Yew Aik yang juga merupakan Pengerusi MCA Tebrau.

Pengumuman Ka Siong bagi kerusi Puteri Wangsa itu menyebabkan rata-rata ahli dalam dewan sebentar bangkit bertepuk tangan. -MalaysiaGazette