YONG PENG – Teka teki siapakah calon MCA bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa akhirnya terjawab hari ini apabila parti itu mencalonkan Ng Yew Aik yang merupakan Pengerusi MCA Tebrau.
Ketika membuat pengumuman hari ini, kata Ka Siong, pihaknya yakin akan menang biar pun kali pertama bertanding di kerusi berkenaan.
Menurut beliau, MCA telah mula turun padang mendekati masyarakat setempat sejak awal lagi iaitu sebelum bahang pilihan raya mula dirasakan.
“PRN Johor adalah antara yang terpenting buat MCA sebenarnya, pada Pilihan Raya Umum ke-14, MCA tidak menang mana-mana kerusi DUN di negeri ini sehingga menyebabkan kita agak ketinggalan kerana ketiadaan wakil.
“Banyak isu yang memerlukan penyelesaian untuk rakyat namun kita tidak ada untuk bantu mereka, kini kita akan gunakan platform ini untuk tebus balik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Sambutan Ulang Tahun MCA ke-73 yang diadakan di Dewan Persatuan Akhlak Che Ann Khor Yong Peng di sini.
Dalam pada itu, Ka Siong ketika berucap di hadapan lebih 300 ahli secara fizikal di Dewan Chee Ann Khor dan juga yang mengikuti sambutan itu secara dalam talian mengingatkan perjuangan MCA yang sudah menjangkau lebih 73 tahun.
“Kita antara yang awal menyertai UMNO sebelum merdeka lagi, kita sertai mereka kerana hakikatnya ini adalah satu negara majmuk yang memerlukan semua kaum hidup di bawah satu bumbung.
“MCA amat menghargai semangat setiakawan antara komponen UMNO dan juga MIC selama berpuluh tahun lamanya, ini juga antara sebab mengapa kita telah berjaya menerajui negara untuk begitu lama.
“Namun kita jatuh apabila pembangkang mengelirukan pengundi, mengeluarkan fitnah serta janji bulan bintang sehingga menyebabkan kepercayaan terhadap BN sedikit terhakis namun kini rakyat sendiri tahu siapa sebenarnya yang selama ini jaga kebajikan serta kepentingan mereka,” tegasnya. -MalaysiaGazette