BATU PAHAT – Banyak pembangunan yang diterima masyarakat Orang Asli di Parit Sulong dekat sini semasa pemerintahan Johor di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Majoriti penduduk Orang Asli di Kampung Dalam Parit Sulong berpuas hati dengan pembangunan yang diterima seiring dengan pembangunan negeri Johor.
Bagi Aminah Abdul Wahab, 73, kehidupan mereka sekarang sudah jauh berbeza berbanding semasa zaman beliau kecil dahulu.
“Dulu, tak ada banyak sangat pembangunan, sekarang sudah banyak. Anak-anak kami sudah mahu ke sekolah, dulu memang tak mahu. Beza memang beza,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas lawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di kampung tersebut hari ini.
Menurut Pengerusi Orang Asli Kampung Dalam, Samser Seleman, 43, pembangunan dirancakkan lagi dengan khidmat bakti bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan.
Zulkurnain, katanya, banyak menabur jasa kepada masyarakat Orang Asli dengan membawa pelbagai pembangunan di kawasannya.
“Dari zaman saya kanak-kanak mandi sungai dengan dia (Zulkurnain) pembangunan yang dibuat di sini banyak untuk masyarakat Orang Asli. Saya rasa ucap terima kasih dan itu tidak memadai dengan apa yang dilakukan beliau, pengorbanan dia dengan masyarakat Orang Asli cukup banyak.
“Berbeza sangat dari zaman dahulu dengan sekarang. Besar manfaat yang kami terima dan segala permintaan daripada masyarakat kampung sini tidak pernah dipandang sepi malah benda yang kami tak minta, dia pandang penting,” katanya.
Dalam pada itu, Samser berkata pihaknya bersyukur ketika kembalinya pemerintahan BN yang dilihat banyak membela nasib masyarakat Orang Asli.
“Semasa jatuhnya BN kami terseksa sebab segala permintaan dipandang sepi oleh kerajaan terdahulu. Masa bukan UMNO dan BN yang jaga kami bukan macam sekarang, bila dapat balik ke BN kami amat bangga,” katanya lagi.
Bagi pelajar Orang Asli cemerlang Sijil Tinggi Pejalaran Malaysia (STPM) 2020, Intan Nurhidayah Lim, dirinya bersyukur dengan pembangunan yang diterima di kampungnya.
“Tapi pembangunan daripada segi internet itu jadi masalah utama pelajar, sampaikan pelajar terpaksa belajar bawah pokok. Kami terpaksa bergerak untuk mendapat sambungan internet.
“Tapi saya bersyukur dapat jadi pelajar cemerlang SPTM 2020 dan setakat ini pembangunan di sini amat bagus,” katanya.
Dalam Bajet 2022 tahun lalu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperuntukkan RM274 juta bagi melaksana program peningkatan taraf hidup komuniti Orang Asli seperti pemberian subsidi dan bantuan persekolahan serta bantuan kebajikan untuk manfaat hampir 200,000 Orang Asli.
Katanya bagi tahun hadapan, kerajaan juga akan menaikkan kadar wang saku murid sekolah menengah komuniti berkenaan kepada RM4 sehari. – MalaysiaGazette