Home Politik Putra letak Profesor Madya bertanding di DUN Semerah

Putra letak Profesor Madya bertanding di DUN Semerah

Kamarulzaman (kiri) menunjukkan isyarat bagus ketika menerima watikah pencalonan dari Presiden Putra, Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali di sini hari ini.

SEMERAH – Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) mempertaruhkan seorang Profesor Madya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Dr Kamarulzaman Mohd Jidi, 65, merupakan anak tempatan yang dipilih parti itu untuk bertanding bagi mencabar penyandang kerusi DUN itu, Mohd Khuzzan Abu Bakar yang dicalonkan semula oleh Parti Keadailan Rakyat (PKR).

Ketika ditemui MalaysiaGazette selepas pengumuman calon, Kamarulzaman yang merupakan cucu Panglima Salleh, Selempang Merah dan memperoleh PhD dari Universiti Selangor (UNISel) berkata, beliau tidak merasa janggal untuk bertanding secara solo mewakili parti Putra pada PRN kali ini.

Katanya, Putra mempunyai kekuatan minda yang mana rakyat boleh melihat sendiri keadaan politik semasa untuk mereka membuat keputusan pada PRN kelak.

“Rakyat tidak lagi dapat melihat parti-parti yang ada pada masa sekarang ini sebagai parti yang nyata.

“Setelah saya membuat tinjauan selama tiga minggu melalui biodata saya, nampaknya sokongan begitu kuat kepada calon profesional.

“Sebab apa yang berlaku dalam politik di Malaysia dan juga di Johor kumpulan-kumpulan yang dalam DUN ini tak cukup ilmu…bukan saya riak tapi untuk mendapatkan kedoktoran ini saya habis masa 35 tahun, daripada janggut saya hitam sampai putih, pengetahuan adalah penting,” katanya.

Mengulas lanjut beliau mendakwa, ada sesetengah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor sebelum ini menggunakan sijil-sijil palsu untuk dijadikan kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya.

“Jadi, kalau pilot guna ijazah palsu agak-agak ada yang berani naik tak kapal terbang itu,” katanya.

Tambahnya, disebabkan itu beliau dan juga ahli Dewan Tertinggi Putra berdebat dan berbahas tanpa gentar melawan parti-parti yang akan muncul pada PRN di Johor.

Ujarnya, parti-parti yang bertanding di kawasan itu sebenarnya sudah “goyang” dan disebabkan itu beliau yakin Putra akan diterima oleh pengundi di DUN berkenaan.

“Insya Allah, kali ini saya yakin 70 peratus rakyat di DUN Semerah ini akan memilih Putra,” ujarnya.

Sementara itu Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali berkata, manifesto calon partinya akan diumumkan esok selepas penamaan calon. – MalaysiaGazette